"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH Melaka tiada rancangan menghadap Agong

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari memberitahu bahawa setakat hari ini, gabungan itu tiada rancangan bertemu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau dalam hantaran Facebooknya hari ini berkata, fokus PH ketika ini adalah untuk membawa kes pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke mahkamah.

Kenyataan yang dikeluarkan Adly itu sekaligus menafikan dakwaan ADUN Bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee bahawa ADUN PH dan empat ADUN yang menarik sokongan kepada kerajaan, akan menghadap Agong.

“Pakatan Harapan Negeri Melaka setakat ini tiada rancangan bertemu YDP Agong.

“Fokus kini untuk membawa pembubaran DUN ke mahkamah bagi mempertikaikan proses dan fakta pembubaran termasuk menghormati perkara 19(2) perlembagaan negeri,” katanya.

Terdahulu, ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee memaklumkan bahawa kesemua 15 ADUN PH, Umno, Bersatu dan Bebas Melaka yang mendakwa mempunyai majoriti cukup untuk membentuk kerajaan negeri, akan mengadakan pertemuan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, pertemuan itu ekoran ketidakpuasan hati terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam membubarkan DUN selepas mendapat nasihat Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tiada ulasan: