"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keahlian Adun Umno terbabit jatuhkan kerajaan Melaka terbatal automatik

Mohd Amin Jalil

am@hmetro.com.my

Seremban: Umno akan menggugurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada parti itu di Melaka yang didapati terbabit dalam gerakan menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan itu selaras dengan peraturan ditetapkan parti.

"Jika didapati ada Adun daripada Umno dan Barisan Nasional (BN) yang melakukan kerja dan boleh meruntuhkan kerajaan, maka secara automatik keahliannya akan tergugur.

"Itu sajalah bagi pihak parti. Saya berharap wakil-wakil rakyat, Ketua Menteri dan speaker dapat memainkan peranan.

"Nasihat saya, jika kerajaan ini sudah tak boleh lagi meneruskan pemerintahan, daripada beralih-alih kerajaan, lebih baik diadakan pilihan raya kecil (PRK) negeri supaya yang penting kita boleh beri semula mandat kepada rakyat. Biar rakyat yang menentukan daripada sesama kita lompat sana, lompat sini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan kepada ibu tunggal, anak yatim dan golongan memerlukan di Masjid Al-Hidayah, Taman Angsamas dekat sini, hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau berkata, walaupun belum mendapat maklumat lanjut mengenai perkembangan politik di Melaka kecuali melalui laporan media, namun Umno akan terus memantau.

"Saya kurang arif apa yang berlaku di Melaka kecuali seperti dilaporkan oleh media sahaja.

"Saya harap ia dapat ditangani dengan baik oleh pentadbiran kerajaan Melaka," katanya.

Terdahulu media melaporkan timbul spekulasi yang mendakwa kerajaan Melaka yang diterajui Umno bakal tumbang selepas empat Adun kerajaan dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH).

Malah, keempat-empat Adun itu juga didakwa sudah menandatangani akuan bersumpah (SD).

Dalam pada itu, Mohamad yang juga mantan Menteri Besar Negeri Sembilan menggesa undang-undang mencegah ahli parlimen atau Adun daripada melompat parti dapat diluluskan segera di peringkat Parlimen.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan berkata, undang-undang itu penting bagi mengelak berlakunya lompat parti dan menimbulkan masalah pada masa akan datang.

"Apabila dikira melompat dan dikira tempat itu kosong dan kita boleh buat kerusi itu sebagai kepunyaan parti. Penduduk boleh buat petisyen kerana pilihan raya kecil ini akan makan belanja.

"Apabila buat undang-undang kerusi itu kepunyaan parti, maka parti boleh melantik siapa sahaja yang layak (untuk menduduki kerusi itu)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, Umno Negeri Sembilan sedang bersiap untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Selaku Pengarah Pilihan Raya Umno, saya akan turun ke setiap di negeri ini yang berada di Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi menemui bahagian-bahagian tentang kesiapsiagaan yang dilakukan.

"Saya ada data dan maklumat, dan kita tidak mahu kesiapsiagaan itu hanya cantik atas kertas sahaja. Kita nak pastikan jentera pilihan raya bertindak proaktif," katanya.

Tiada ulasan: