"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bapa dakwa anak nyaris diculik lelaki berjubah putih

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menyiasat dakwaan seorang bapa mengenai anak perempuannya berusia enam tahun hampir diculik di Kampung Krubong, Melaka, petang semalam.

Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada bapa kanak-kanak itu berusia 45 tahun mendakwa anaknya hampir diculik ketika pulang mengaji, 6 petang.

Beliau berkata, ketika kejadian anaknya bersama kakak serta seorang lagi anak saudaranya berjalan pulang ke rumah dan tiba-tiba ditegur seorang lelaki memakai jubah putih serta berkopiah menaiki kereta dipercayai Proton Persona berwarna perak.

“Lelaki tidak dikenali itu kemudian menarik tangannya masuk ke dalam kereta. Menyedari tindakan itu, kakak dan sepupunya kemudian merentap baju lelaki terbabit menyebabkan suspek terus beredar meninggalkan lokasi,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, terkejut dan takut dengan kejadian, ketiga-tiga kanak-kanak itu berlari menyelamatkan diri ke rumah saudara yang terletak berhampiran.

Sementara itu, Christopher berkata, bapa mangsa memaklumkan ada orang awam sempat melihat nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek namun semakan mendapati ia adalah palsu.

“Semakan dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati nombor pendaftaran didaftarkan atas kenderaan Nissan Cefiro dan motosikal Honda.

“Sehubungan itu, kami meminta kerjasama orang awam yang melihat kejadian atau mempunyai rakaman segera tampil menyalurkan maklumat,” katanya.

Tiada ulasan: