"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki mengamuk di lebuh raya positif dadah

TANGKAP layar video tular seorang lelaki mengamuk di Kilometer 253, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Kuala Kangsar Ahad lalu. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL

ASLIZA MUSA

IPOH: Lelaki yang tular mengamuk di Kilometer 253, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Kuala Kangsar Ahad lalu, didapati berada di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 36 tahun itu positif dadah jenis ganja.

Katanya, lelaki warga tempatan itu diberkas kelmarin di rumahnya di Taman Setapak Permai, Kuala Lumpur.

“Suspek direman empat hari bermula semalam. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri hari ini bagi tujuan pendakwaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 283 Kanun Keseksaan (bahaya atau galangan di jalan awam atau di haluan pelayaran awam).

Terdahulu, video berdurasi 26 saat yang tular di media sosial itu memaparkan seorang lelaki berdiri di samping sebuah kereta yang diberhentikan di lorong kanan lebuh raya.

Lelaki terbabit yang kelihatan ‘lalok’ itu mengamuk dan menendang bahagian hadapan sebuah kereta lain yang melalui jalan tersebut. – UTUSAN

Tiada ulasan: