"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tuduhan terhadap anak MB Perlis boleh cemar imej ‘bersih’ PAS

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Penganalisis berkata, pendakwaan terhadap anak Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli atas pertuduhan memalsukan tuntutan boleh menjejaskan reputasi PAS sebagai parti “bersih”.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, PAS sebelum ini dilihat tidak tercemar dengan rasuah ketika berada dalam kerajaan, tidak seperti parti lain yang pemimpin mereka dihadapkan ke mahkamah.

Berdasarkan senario itu, katanya, bukan saja Perikatan Nasional (PN) akan terkesan, PAS yang dikenali parti ‘bersih’ juga akan terjejas.

“PAS akan merasa sukar untuk bercakap mengenai rasuah selepas ini,” katanya kepada FMT.

Semalam, Syafeeq Shukri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu lebih RM19,000 untuk menyediakan minuman bagi kegunaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Februari lalu.

Azmi yang juga felo Majlis Profesor Negara mencadangkan ahli PAS patut mendesak Shukri berundur bagi mengelakkannya terus memalukan parti itu.

Shukri juga pesuruhjaya PAS Perlis dan pengerusi PN negeri.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia turut senada perkembangan itu mungkin memberi kesan negatif terhadap PAS memandangkan kes rasuah dalam PN sebelum ini sering dikaitkan dengan Bersatu.

Beberapa pemimpin Bersatu terbabit kes rasuah, seperti Presidennya, Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Wan Saiful Wan Jan.

Tetapi, Mazlan berkata, tidak adil untuk memaksa Shukri melepaskan jawatan menteri besar memandangkan kes itu hanya membabitkan anaknya.

“Lain cerita jika menteri besar itu yang didakwa. Ini (anaknya didakwa) tidak menjejaskan tugasnya sebagai menteri besar.”

Tiada ulasan: