"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis antara 4 didakwa rompak warga Bangladesh

Bernama

PETALING JAYA: Empat lelaki termasuk seorang anggota polis antara yang didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan hari ini atas kesalahan melakukan rompakan berkumpulan terhadap dua lelaki warga Bangladesh dua minggu lepas.

Di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, anggota polis Norizam Ambiah, 34, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama seorang lagi yang masih bebas, menyamun barang kemas termasuk rantai dan gelang tangan bernilai RM264,000, wang tunai RM4,202, sebuah telefon bimbit, visa dan kad Touch N Go milik Arif Hossain, serta barang kemas bernilai RM231,000, dan pelbagai barangan lain termasuk wang tunai RM3,600 dan enam telefon bimbit milik Shakel Ahmed.

Kesalahan didakwa dilakukan di kaunter letak kenderaan di depan sebuah pusat beli-belah di Jalan Munshi Abdullah pada 11 Mei lepas, lapor Bernama.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin tidak menawarkan jaminan, namun jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan ikat jamin, pihaknya mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Harcharanjit Singh yang mewakili Norizam memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Beliau menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sementara itu, tiga lagi tertuduh, iaitu Muhammad Kamaruzzaman Imran, 34, Muhamad Azam Ab Rahim, 33, dan Roshaizol Lajat, 45, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nu’aman Mahmud Zuhudi atas pertuduhan mengikut seksyen sama di lokasi, masa dan tarikh sama.

Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif menawarkan jaminan RM12,000 kepada setiap tertuduh manakala peguam Tharamjit Singh mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan mereka menanggung keluarga.

Nu’aman membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan sebutan kes pada 28 Jun.

Tiada ulasan: