Bernama
mohamad shaharudin zakaria
Hukuman ke atas Mohamad Shaharudin Zakaria, 69, diganti mengambil kira faktor usia, kata hakim. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman penjara 38 tahun seorang lelaki warga emas dengan pemenjaraan minimum 30 tahun bagi kesalahan membunuh jirannya berusia 77 tahun, empat tahun lalu.
Panel tiga hakim terdiri daripada Ahmad Zaidi Ibrahim, Nazlan Ghazali, dan Mohamed Zaini Mazlan sebulat suara membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mohamad Shaharudin Zakaria, 69, untuk mengetepikan hukuman penjara 38 tahun yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, tahun lalu.
Mahkamah memerintahkan Shaharudin menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 4 Mei 2020.
“Hukuman penjara 38 tahun diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara 30 tahun. Kami mengambil kira faktor usia seperti yang dihujah peguam,” kata Zaidi.
Shaharudin didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh kerana membunuh Zaharah Khalid dengan menjerut dan mencampakkan mayatnya ke dalam parit di sebuah rumah di Kampung Pasir Panjang Laut, Seri Manjung, Manjung kira-kira 8 malam, 3 Mei 2020 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Terdahulu, peguam Rajith Singh yang mewakili Shaharudin berhujah anak guamnya yang sudah berusia itu menghidap penyakit tekanan darah tinggi, jangkitan paru-paru, dan asma.
“Saya memohon mahkamah ini menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira faktor usia dan kesihatan perayu, ia merupakan kesalahan pertamanya,” kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berhujah bahawa hukuman penjara 38 tahun perlu dikekalkan kerana lelaki itu tidak dikenakan hukuman sebatan.
“Sekiranya mahkamah membenarkan, saya mencadangkan hukuman sekurang-kurangnya 35 tahun (penjara) dikenakan terhadap perayu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan