"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS sedia tanding di tujuh kerusi wakil Bersatu paling tadah

Malaysiakini

PAS sedia bertanding di enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN yang dijangka akan dikosongkan susulan tindakan wakil rakyat Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata, berdasarkan Akta Anti Lompat Parti 2022, Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan dan partinya bersedia untuk meletak calon jika diberi mandat untuk bertanding.

“Saya juga yakin dalam suasana muhibah dalam komponen parti-parti PN, kita dapat selesaikan isu calon itu dengan sebaik-baiknya,” katanya seperti dilapor Harakahdaily.

Setakat ini, enam ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu telah menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar.
Mereka adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Manakala Adun yang terbabit pula ialah Abdul Rashid Asari (Selat Klang).

Susulan itu, pada 2 Mac lalu, Bersatu meminda perlembagaan parti dalam usaha untuk menghalang wakil rakyatnya berpaling tadah pada masa hadapan.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris berkata keahlian enam ahli Parlimen dan seorang Adun parti itu yang berpaling tadah telah tergugur secara automatik.

Tegas Razali, mereka juga perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing dan tidak perlu menunggu surat pemecatan.

Mengulas lanjut, Hashim berkata PAS yakin peluang untuk PN menang lebih cerah sekiranya perlu menghadapi PRK.

“Pilihan raya ini sudah menjadi adat, ada yang kalah dan ada yang menang. Kita juga sudah bersedia dengan kekuatan jentera jika berlaku PRK tersebut,” katanya lagi.

Tiada ulasan: