"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wartawan China bongkar kes COVID-19 dibebaskan selepas 4 tahun dipenjara

Bharianonline
Gambar tangkap layar menunjukkan bekas peguam dan wartawan warga China, Zhang Zhan. - Foto AFP
Gambar tangkap layar menunjukkan bekas peguam dan wartawan warga China, Zhang Zhan. - Foto AFP
ISTANBUL: Wartawan China, Zhang Zhan, yang dijatuhi hukuman penjara empat tahun pada 2020 kerana melaporkan wabak COVID-19 dibebaskan dari penjara, menurut kenyataan penyokongnya.

Zhang, 40, dibawa ke rumah abangnya di Shanghai oleh pihak polis pada 13 Mei, kata kenyataan itu pada Selasa di X.

"Saya benar-benar tidak tahu apa yang hendak dikatakan," kata Zhang dalam video yang dikeluarkan dengan kenyataan itu.

Kyodo News berkata, wartawan itu 'disabitkan bersalah mengganggu ketenteraman awam, dengan pendakwa raya mendakwa dia menyebarkan sejumlah besar pembohongan dan bercakap dengan media asing mengenai jangkitan dengan niat jahat'.

Zhang, 40, yang juga bekas peguam ditugaskan ke Wuhan pada awal 2020 dari Shanghai, menyiarkan laporan mengenai hospital yang sesak dan jalan-jalan lengang, sekali gus memberikan gambaran lebih mengerikan mengenai wabak itu, berbanding saluran rasmi.

Selepas beberapa bulan membuat laporan termasuk siaran video, dia ditahan pada Mei 2020.

Menerusi dokumen mahkamah yang dilihat Reuters akhir Jun lalu, dia melancarkan mogok lapar sehingga mendorong polis untuk mengikat tangannya dan memberinya makan secara paksa melalui tiub.

Pada Disember 2020, dia disabitkan oleh mahkamah Shanghai kerana 'memilih untuk bertengkar dan mencetuskan masalah' serta dijatuhi hukuman penjara empat tahun.

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) juga mengecam perkara itu dan menyifatkan tuduhan terhadap Zhang sebagai 'pendakwaan palsu' dan berulang kali meminta dia dibebaskan.

Zhang dipuji sebagai wira oleh ramai penduduk China kerana berani mendedahkan krisis COVID-19 itu ketika kerajaan cuba menutupnya, malah laporan beliau turut menarik perhatian antarabangsa apabila virus itu merebak pantas ke seluruh dunia berpunca dari Wuhan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa China didakwa bertindak terlalu tegas lagi kasar bagi menangani Zhang dan pengkritik lain mengenai dasar COVID-19.

Menurut laporan media, seorang lagi pemberi maklumat COVID-19, Fang Bin, dipenjarakan selama tiga tahun sebelum dilaporkan dibebaskan tahun lalu.

Kes pertama COVID-19 dilaporkan di pusat bandar Wuhan di China pada Disember 2019.

Ia kemudiannya merebak ke seluruh dunia dengan negara mengenakan sekatan perjalanan. - AGENSI

Tiada ulasan: