Hishamuddin Aun
Tenang hanya seketika sebelum kecoh dan layanan didakwa berbeza-beza di antara pihak kerajaan dan pembangkang timbulkan tanggapan berlawanan.
Selesai sudah seminggu lagi mesyuarat pertama Parlimen ke-15 bagi penggal keempat bermula 3 Feb lalu, dengan sidang pada 18 Feb lepas cukup untuk menggambarkan betapa berlawanannya sikap ahli-ahli yang berhormat kita semua.
Memulakan sidang pada pagi Selasa lalu dengan Speaker Johari Abdul mengalu-alukan lawatan delegasi Parlimen United Kingdom yang diketuai speakernya Sir Lindsay Hoyle, ahli-ahli Dewan tidak pun perlu diingatkan untuk menjaga kelakuan masing-masing.
Boleh difahami bahawa Parlimen kita mengikut acuan Westminster — sebuah sistem Parlimen kerajaan demokratik yang dimodelkan mengikut acuan kerajaan United Kingdom. Tidak perlulah rasanya dihuraikan di sini kerana ramai yang dah faham.
Tidak usahlah juga bayangkan bahawa Hoyle dan delegasinya akan menilai sidang Parlimen kita berdasarkan lawatan singkat mereka itu. Lama sebelum kunjungan berkenaan, mereka harus sudah terdedah kepada suasana umpama sarkas ketika Dewan Rakyat kita bersidang daripada banyaknya video yang boleh diakses di YouTube antaranya.
Kalau ada pun, mereka harus berasa hairan dengan apa yang disaksikan sepanjang sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) pada pagi berkenaan. Kalaulah mereka menunggu lebih lama sehingga waktu perbahasan titah diraja pada sebelah petangnya, barulah mereka dapat melihat sendiri betapa berbezanya keadaan.
Sesi MQT pagi itu berjalan penuh tertib dengan lima wakil rakyat — Bentong, Jerantut, Bagan, Indera Mahkota dan Muar — mengajukan soalan kepada menteri. Ini disusuli Batu, Padang Besar, Bagan Serai, Shah Alam, Batu Pahat, Kangar, Padang Terap, Bakri, Jerantut, Sri Gading, Kalabakan, Gerik, Paya Besar, Batu Gajah dan Jerlun untuk pertanyaan bagi jawapan lisan yang mengakhiri sesi berkenaan.
Sesi petangnya menyambung perbahasan titah diraja yang didahului oleh giliran Ahli Parlimen Cheras dan Marang. Baru sampai ke giliran Pendang — wakil rakyat keempat berbahas daripada 32 semuanya yang digilirkan petang itu — Dewan sudah pun kecoh apabila Awang Hashim mendakwa Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) cuba mencampuri urusan orang Islam sejak dua tahun lalu.
Mendakwa Koo Ham yang mencadangkan pakar perlembangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam pada September 2023, Awang juga menuduh tindakan menteri dan wakil rakyat DAP termasuk Koo Ham antara punca menjejaskan keharmonian dan merenggangkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Bukankah ini cabaran kepada Islam? Buat apa campur, orang Melayu Islam tak ganggu agama kamu, apa kamu buat? Kalau tak ada niat memperlekeh, menghina, semua ini bermula apabila DAP menjadi kerajaan, sebelum ini tiada masalah,” katanya.
Koo Ham kemudian mencuba untuk mencelah beberapa kali dengan mendakwa Pendang cuba menimbulkan sangkaan jahat sehingga situasi tegang itu ditenteramkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor bagi mengawal keadaan.
Rugi — atau beruntung bagi Ahli Parlimen kita — Hoyle dan delegasinya sudah mengakhiri kunjungan mereka ketika itu.
Keesokannya Awang menimbulkan kekecohan lagi apabila mendakwa Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan menyebut angka Keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua 2024 sebanyak 5.1% yang mengelirukan — berbanding 5.9% dalam titah Yang di-Pertuan Agong pada 3 Feb lepas.
“Biar menteri habis jawab dulu, sebab kalau tak dia terputus-putus, habis menteri jawab, apa juga dibangkitkan, bangkitkan, kalau tidak, dia tidak ada kesinambungan,” tegur Johari tetapi Awang bangkit lagi kemudian menyuarakan rasa tidak puas hatinya.
Barangkali ada yang tidak bersetuju tanggapan terhadap Parlimen kita dibuat hanya berdasarkan satu hari persidangan tetapi mereka yang mengikutinya setiap hari akan menerima kekecohan sudah jadi lumrah hingga Ramli sendiri pernah berkongsi ada yang bertanyakannya bagaimana keadaan sarkas (merujuk kepada sidang Parlimen kita) ketika itu.
Carian mudah di Google atas kata carian ‘Dewan Rakyat kecoh’ atau ‘sidang Parlimen kecoh’ akan menemukan banyak arkib berita berkaitan sebagai membayangkan bukanlah sidang Dewan Rakyat namanya jika sunyi daripada keriuhan, bertegang urat dan bertikam lidah di antara ahli dari dua blok bertentangan.
Tidak kira siapa pun memulakannya — baik daripada penyokong kerajaan mahupun pembangkang — kedua-dua pihak sebenarnya sama-sama bertanggungjawab kerana apa yang dimulakan tidak akan merebak jika api yang dilihat asalnya kecil tidak dicurahkan petrol hingga ia terus marak.
Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara, mengingatkan semua ahli bahawa Parlimen bukan tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah, sebaliknya dewan mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
Susulan itu, Johari mahu semua Ahli Parlimen terus mengamalkan budaya politik matang, beretika dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas dengan menjadikan titah baginda sebagai peringatan yang bermakna.
“Parlimen harus menjadi platform demokrasi yang memperjuangkan kepentingan rakyat, medan perbahasan yang sihat serta konstruktif, dan bukannya tempat pertelingkahan yang memecahbelahkan rakyat,” katanya.
Adakah Ahli-ahli Parlimen mendengar dan patuh?
Kenyataan terbaharu Johari pada Jumaat — bahawa tindakan pembangkang membabitkan soalan berkaitan isu sama berulang kali dan soalan tidak relevan hanya membuang masa berharga Dewan Rakyat — harus menjawab persoalan itu.
“Kalau kita melayan soalan-soalan berbaur politik, kita berisiko menyelesaikan persidangan pada tengah malam atau 1 pagi… ini tidak boleh. Saya menetapkan persidangan mesti tamat selewat-lewatnya jam 8.30 malam. Saya pernah bertugas sehingga 5 pagi sebelum ini, dan ia tidak produktif,” tegasnya.
Hanya sehari sebelum itu, Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin mendakwa Ahli Parlimen pembangkang kini tidak lagi bebas menyuarakan pandangan di Dewan Rakyat, lantas akan menganjurkan siri jelajah ke seluruh negara bagi membawa suara rakyat.
Mendakwa pembangkang dilayan seperti budak sekolah yang dikenakan pelbagai sekatan, tindakan sedemikian didakwanya menyebabkan pembangkang sukar untuk menyuarakan keperluan rakyat.
Tidakkah itu satu lagi petanda dua wajah Parlimen kita yang berlawanan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan