"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga emas hilang selepas masuk gua

FMT Reporters

Kamardin Pin, 61, dilapor tidak pulang ke rumah beberapa jam selepas ke Gua Beringin yang terletak di belakang rumahnya.
Usaha mencari dan menyelamat Kamardin Pin, 61, sedang dilakukan pihak berkuasa dengan bantuan penduduk setempat di sekitar lokasi kejadian. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Seorang bekas pengawal keselamatan dilaporkan hilang selepas masuk ke Gua Beringin berhampiran rumahnya di Chuping, Perlis, semalam.

Ketua Polis Padang Besar Mohd Shokri Abdullah berkata, polis menerima laporan kehilangan Kamardin Pin, 61, daripada isterinya pada 1.56 tengah hari semalam.

Menurutnya, wanita itu membuat laporan setelah suaminya tidak pulang ke rumah mereka yang terletak di Kampung Gua Beringin, Pokok Sena, beberapa jam selepas ke gua berkenaan.

“Isterinya memberitahu Kamardin keluar (rumah) sekitar 8 pagi dan berjalan kaki ke gua yang terletak kira-kira 100m dari belakang rumah mereka dengan membawa tali serta parang,” katanya, lapor Bernama

Mohd Shokri berkata, lelaki itu melakukan kerja-kerja kampung selepas berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan, dan menghidap penyakit jantung serta darah tinggi.

Usaha mencari dan menyelamat Kamardin sedang dilakukan pihak berkuasa dengan bantuan penduduk setempat di sekitar lokasi kejadian.

Tiada ulasan: