"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Liverpool: Salah cipta rekod baru lagi

Reuters

Manchester: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, terus membuktikan bahawa ketika ini adalah musim terbaiknya selepas memecahkan rekod dalam kemenangan 2-0 mereka di Manchester City dan pemain yang menjadi nadi pasukan itu mengatakan musim ini adalah yang paling digemarinya.

Salah menjaringkan gol pertama Liverpool iaitu jaringan ke-25 dalam liga musim ini dan membantu gol kedua oleh Dominik Szoboszlai ketika mereka mendahului 11 mata di puncak liga, sambil mencatat beberapa rekod lagi dalam proses itu.

Antara rekod dicipta adalah Salah kini menjadi pemain pertama dalam sejarah Liga Perdana yang terbabit dalam lebih 40 gol dalam dua musim berbeza, dengan 25 gol dan 15 assist pada musim ini selepas 32 gol dan 10 assist pada musim 2017-2018.

"Ini adalah pendapat. Mungkin orang lebih suka musim pertama saya atau sekarang tetapi saya lebih suka sekarang kerana (mendekati) kemenangan liga, membantu pemain muda, itu istimewa."

"Kami memerlukan satu lagi gelaran. Saya dan pemain utama dalam pasukan, kami memerlukan satu lagi gelaran.

Saya tidak tahu," kata Salah, apabila ditanya adakah dia bermain pada tahap terbaiknya.

Salah hanya tinggal empat bulan lagi dalam kontraknya bersama Liverpool, dengan tiada sebarang tanda akan disambung namun sebarang potensi gangguan itu tidak kelihatan di atas padang.

Gol ke-241 Salah dalam semua pertandingan sejak menyertai Liverpool pada 2017 menjadikannya penjaring ketiga tertinggi dalam sejarah kelab Anfield bersama Gordon Hodgson (1926-1935). Ian Rush mendahului carta penjaring kelab dengan 346 gol, manakala Roger Hunt di tempat kedua dengan 285 gol.

Salah kini menjaringkan gol dan memberikan assist dalam 11 perlawanan liga musim ini, yang dilihat jumlah terbanyak oleh seorang pemain dalam satu musim dalam lima liga utama Eropah sejak Lionel Messi melakukannya untuk Barcelona pada musim 2014-15.

Gol ke-16 Salah dalam perlawanan liga di tempat lawan adalah rekod bersama dalam sejarah liga dengan Kevin Phillips (1999-2000) dan Harry Kane (2022-2023).

Penyerang Mesir ini adalah duri dalam daging buat pengurus City, Pep Guardiola.

Dia menjadi pemain pertama dalam sejarah Liga Perdana yang menjaringkan gol dan memberikan assist dalam kedua-dua perlawanan menentang juara bertahan dalam satu musim.

Dengan sembilan gol dan enam assistnya menentang pasukan kendalian Guardiola, Salah mencatatkan jumlah terbanyak dalam kerjaya pengurusan Guardiola dalam liga utama.

"Angka bercakap untuk dirinya sendiri. Pada masa ini, tidak banyak perkara yang kelihatan sukar untuk Mo," kata pengurus Liverpool, Arne Slot.

Tiada ulasan: