FMT Reporters
PETALING JAYA: Ramadan menjadi bulan terbaik ‘berpuasa daripada fitnah politik’, kata Mujahid Yusof Rawa.
Timbalan presiden Amanah berkata, ini disebabkan politik Malaysia sentiasa digegarkan isu panas yang lebih merupakan fitnah dan kelicikan taktik.
“Saya menyeru kepada semua pihak supaya kita mengambil kesempatan sempena Ramadan ini untuk kita berpuasa dari fitnah politik, fitnah perkauman, dan fitnah agama yang menyuburkan budaya kebencian dan permusuhan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Ramadan bukan sahaja menghalang diri daripada makan dan minum, malah wajib menghalang mulut menularkan perasaan dendam dan benci sesama insan.
“Jadikan majlis berbuka sebagai talian silaturahim dengan kita bersikap ‘Rahmah’ rentas kepartian dan kelompok,” katanya.
Senator itu berkata, sememangnya tujuan atau syariat berpuasa untuk membebaskan diri daripada kitaran akhlak yang keji ke arah akhlak terpuji, jika tidak apa yang diperoleh daripada ibadat tersebut hanya lapar dan dahaga.
Katanya, Ramadan mendidik supaya menghayati makna hidup yang mulia.
“Saya mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat kita berpuasa daripada menyebarkan fitnah dan selamat kita berpuasa dari perasaan kebencian dan permusuhan sesama kita,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan