"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga Bangladesh ditahan polis kes pukul anjing dengan kayu

FMT Reporters

Suspek berusia 45 tahun akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai pagi ini untuk permohonan reman.
Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki disyaki memukul seekor anjing menggunakan kayu dalam kejadian di Senai.
PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan polis kerana disyaki memukul seekor anjing dengan kayu dalam kejadian di Senai, seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Kulai, Tan Seng Lee, berkata suspek berusia 45 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan susulan rakaman video tular berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira 1.09 petang Isnin lalu dan laporan polis dibuat lelaki tempatan berusia 33 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati anjing terbabit kini dalam keadaan stabil dan dijaga rapi oleh seorang lelaki tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Sinar Harian.

Beliau berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai pagi ini untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya.

“Kes juga disiasat di bawah Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda antara RM20,000 hingga RM100,000, atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan penganiayaan terhadap haiwan serta meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan haiwan.

Terdahulu, tular satu video berdurasi beberapa saat memaparkan seorang lelaki memegang objek seperti kayu dan kemudiannya berlari memukul seorang anjing di tepi bangunan rumah kedai.

Tiada ulasan: