"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pokok tumbang hempap kereta, bapa maut, anak perempuan terselamat

Norzamira Che Noh
bhnews@bh.com.my
Sebuah kereta dihempap pokok di Kampung Bukit Kuda, Klang, petang tadi. - Foto ihsan JBPM Selangor
Sebuah kereta dihempap pokok di Kampung Bukit Kuda, Klang, petang tadi. - Foto ihsan JBPM Selangor
SHAH ALAM: Seorang lelaki maut, manakala anak perempuannya terselamat selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap sebatang pokok dalam kejadian di Kampung Bukit Kuda, Klang, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata mangsa yang meninggal dunia dikenali Azhehari Ansar, 46, yang beralamat di Kampung Jawa, Klang.

Katanya, terdahulu bomba menerima laporan berhubung insiden itu jam 6.31 petang, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan bergegas ke lokasi.

"Komander operasi melaporkan kejadian membabitkan sebatang pokok yang tumbang dan menghempap kereta dinaiki bapa dan anak itu.

"Remaja perempuan berusia 13 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya dikeluarkan orang awam, manakala bapanya tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

"Anggota bomba kemudian memotong pokok dan mengeluarkan mangsa jam 7.12 malam sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kenderaannya dihempap batang pokok dalam kejadian di Bulatan Seksyen 15 dekat sini, petang tadi.

Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 6.49 petang dan sepasukan anggota dari BBP Shah Alam bergegas ke lokasi.

"Kejadian membabitkan sebatang pokok yang tumbang dan menimpa sebuah kereta jenis Perodua Myvi. Bagaimanapun, pemandu kereta berusia 23 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Tiada ulasan: