Alias Abd Rani
bhnews@bh.com.my

Sebahagian pekerja asing diperiksa di dua buah kilang di Buloh Kasap, Segamat, hari ini. - Foto NSTP/Alias Abd Rani.
SEGAMAT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 individu termasuk pemilik syarikat dan pegawai dagang kerana disyaki terbabit merasuah penguat kuasa dalam memproses serta melupus sisa elektrik dan elektronik (e-waste) yang tidak dibenarkan.
Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata tindakan itu dilakukan dalam operasi bersepadu dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini membabitkan serbuan ke atas 12 premis sekitar Selangor dan Johor.
Beliau berkata, dalam operasi Op X itu, premis terbabit disyaki memproses dan melupus bahan mentah yang tidak dibenarkan seperti gentian kaca, plastik, besi dan logam.
"Sebanyak 16 suspek berusia antara 30-an hingga 40-an ditahan di sekitar Selangor dan Segamat dalam operasi yang bermula antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari, hari ini.
"Ada antara suspek disyaki adalah pemilik syarikat menggunakan pegawai dagang yang melanggar syarat permohonan sebagai pegawai dagang serta membayar wang rasuah kepada penguat kuasa untuk melindungi perniagaan mereka.
"Serbuan dilakukan itu adalah berpandukan maklumat hasil risikan sejak tiga bulan dan kesemua suspek dibawa ke SPRM Melaka petang tadi dan ditahan selepas dirakam keterangan," katanya.
Ahmad Khusairi berkata, penangkapan ini mencerminkan komitmen teguh SPRM, JIM dan JAS dalam memastikan usaha memerangi rasuah, khususnya membabitkan sektor penguatkuasaan demi memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara.
Katanya lagi, kesemua mereka ditahan disiasat mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, dalam operasi bersepadu pagi tadi, seramai 420 pekerja asing berusia antara 20-an hingga 40-an ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan.
Operasi itu dijalankan membabitkan 10 kilang di sekitar Segamat turut menahan lima warga tempatan kerana didapati menggaji pekerja tanpa permit sah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan