"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seorang ibu warga emas 'simpan' mayat anak selama 6 tahun

Agensi

Taipei: Gara-gara melaksanakan hasrat anak tidak mahu dikebumikan selepas kematian, seorang ibu sanggup menyimpan mayat anaknya itu di dalam sebuah bilik di rumahnya dengan penyaman udara sentiasa dihidupkan, malah membersihkan tubuh kaku itu setiap hari sehingga enam tahun.

Anak perempuan Lee, 75, meninggal dunia pada usia 53 tahun pada enam tahun lalu dan sebelum kematiannya, dia dilaporkan pernah menyatakan kepada ibu kandungnya itu bahawa dia tidak mahu dikebumikan.

Menurut laporan Taiwan's United Daily News, mayat kering wanita itu ditemukan di sebuah bilik di rumah ibunya, di mana penyaman udara sentiasa berfungsi untuk memperlahankan proses pereputan tubuh.

Si ibu dilaporkan berpindah ke unit di tingkat tiga sebuah bangunan apartmen lima tingkat di daerah Ruifang, Taipei, kira-kira tujuh atau lapan tahun lalu, iaitu lokasi sama mayat anaknya disimpan.

Lee sering dilihat keluar untuk membeli barang, namun jarang berinteraksi dengan jirannya yang beranggapan dia seorang warga emas yang tinggal seorang diri.

Ketua jawatankuasa penduduk kejiranannya, Xie Yongchang berkata, dia pernah cuba untuk melawat Lee tetapi mendapati unit itu tidak mempunyai loceng pintu.

"Saya hanya pernah bertemu Lee dua atau tiga kali sahaja dan wanita itu juga gagal mengambil hadiah Festival Double Ninth yang diberikan untuk warga emas," katanya.

Oleh kerana tidak terbau apa-apa bau yang pelik, jiran-jiran tidak mengesyaki bahawa wanita itu menyimpan mayat anaknya di dalam rumah.

Padahal si ibu itu menyimpan mayat anaknya di dalam sebuah bilik dengan penyaman udara yang sentiasa dihidupkan dan mengelap jasad anak kesayangannya setiap hari.

Namun, dipercayai pada tahun ini, Puan Lee mengalami strok dan tidak lagi mampu membersihkan mayat anaknya setiap hari.

Tambahan pula, keadaan kewangannya semakin teruk dan tidak mampu membayar bil elektrik, menyebabkan dia akhirnya memberitahu seorang pekerja sosial bahawa dia menyimpan mayat anaknya selama enam tahun.

Pihak polis segera ke lokasi selepas menerima laporan mengenai kes.

Di dalam bilik itu, polis menemukan mayat anaknya itu yang sudah kering, dan kelihatan dilap dengan minyak.

Polis menutup unit kediaman berkenaan untuk menjalankan siasatan dan menghubungi pihak pendakwaan.

Rabu lalu, pihak berkuasa secara awalnya menafikan kemungkinan berlaku pembunuhan berdasarkan keadaan mayat dan rumah serta keterangan si ibu yang mengesahkan kepercayaan agama anaknya selain kehendak anaknya mengenai urusan kematiannya.

Namun, satu bedah siasat lanjut dijalankan untuk memastikan punca kematian anak Lee.

Tiada ulasan: