FMT Reporters
PETALING JAYA: Seramai 61 Muslim ditangkap kerana menghina Islam dengan 52 kes didakwa sejak 2020 hingga 2024, kata Mohd Na’im Mokhtar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) berkata, menghina Islam adalah kesalahan syariah di semua negeri dan boleh dihukum berdasarkan undang-undang syariah, namun peruntukan itu tidak terpakai kepada orang bukan Islam.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah tangkapan mahupun pendakwaan melibatkan bukan Islam yang menghina Islam.
Katanya, jika orang bukan Islam didapati menghina Islam, kes disiasat mengikut Akta 298A Kanun Keseksaan (atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan).
Selain itu, beliau berkata, mereka juga boleh disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dan lain-lain.
Na’im berkata demikian dalam jawapan bertulis Parlimen menjawab Salamiah Nor (PN-Temerloh) yang ingin tahu jumlah kes penghinaan Islam sejak 2020 hingga 2024.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan