Malaysiakini
Iran menyerang dan membakar sebuah kapal tangki minyak mentah dengan muatan penuh di luar pantai Dubai pada awal pagi Selasa, selepas Presiden Donald Trump memberi amaran bahawa Amerika Syarikat akan memusnahkan loji tenaga dan telaga minyak Iran jika negara itu tidak membuka Selat Hormuz.
Laporan Reuters menyebut serangan ke atas kapal Al-Salmi yang mengibarkan bendera Kuwait itu merupakan serangan terbaru ke atas kapal komersial dengan menggunakan peluru berpandu atau dron udara dan laut di negara-negara Teluk dan Selat Hormuz sejak AS dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari.
Konflik yang berlarutan selama sebulan ini tersebar ke seluruh Asia Barat, sekali gus, mengorbankan ribuan nyawa, menjejaskan bekalan tenaga, dan mengancam untuk mengheret ekonomi global ke kancah krisis.
Harga minyak mentah melonjak seketika selepas serangan ke atas kapal tangki tersebut, yang mampu membawa sekitar 2 juta tong minyak bernilai lebih $200 juta mengikut harga semasa.
Kuwait Petroleum Corp, pemilik kapal berkenaan, berkata serangan berlaku awal pagi Selasa, menyebabkan kebakaran dan kerosakan pada bahagian badan kapal.
Pihak berkuasa di Dubai kemudian menyatakan mereka berjaya mengawal kebakaran susulan serangan dron ke atas kapal tangki itu, tanpa sebarang kebocoran minyak atau kecederaan kepada anak kapal.
Lonjakan harga minyak dan bahan api mula membebankan kewangan isi rumah di AS dan menjadi “sakit kepala politik” buat Trump dan Parti Republikan menjelang pilihan raya pertengahan penggal November ini, setelah dia berjanji untuk menurunkan harga tenaga serta meningkatkan pengeluaran minyak dan gas AS.
Harga runcit purata nasional petrol di AS melepasi $4 segelen buat kali pertama dalam tempoh lebih tiga tahun pada Isnin, menurut data daripada perkhidmatan pengesan harga GasBuddy. Bekalan global yang semakin meruncing menolak penanda aras minyak mentah Brent naik 56 peratus ulan ini, kenaikan terbesar dalam rekod, kepada melebihi $113 setong.
Tentera dikerahkan ketika rundingan berterusan
Serangan oleh kedua-dua belah pihak tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda, dengan kebimbangan terhadap konflik serantau yang lebih luas semakin meningkat.
Kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran menyertai peperangan dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel, manakala Turkiye melaporkan satu peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Iran memasuki ruang udara negara itu sebelum ditembak jatuh oleh pertahanan udara dan peluru berpandu NATO.
Israel melancarkan serangan peluru berpandu ke atas apa yang dipanggil sebagai infrastruktur ketenteraan di Tehran dan infrastruktur yang digunakan oleh Hezbollah tajaan Iran di ibu kota Lubnan, Beirut.
Bunyi letupan turut kedengaran di beberapa bahagian di timur dan barat Tehran beberapa minit selepas Israel mengeluarkan amaran mengenai serangan segera di bandar itu, lapor agensi berita Iran, Tasnim pada Selasa.
Penduduk di daerah Pirouzi di bahagian timur melaporkan gangguan bekalan elektrik selepas letupan, dan pegawai dari Kementerian Tenaga Iran mula berusaha untuk memulihkan bekalan elektrik, kata Tasnim.
Satu serangan ke atas dewan perhimpunan Syiah di bandar Zanjan, barat laut Iran pada Selasa membunuh tiga orang dan mencederakan 12 yang lain, kata seorang pegawai wilayah kepada media Iran.
Tentera Israel berkata pada awal pagi Selasa bahawa empat askar terbunuh di selatan Lubnan, kawasan yang sama di mana tiga anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dari Indonesia terbunuh dalam dua kejadian berasingan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan