"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

25 ‘ulat foto’ di KLCC ditahan polis

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis menahan 25 individu dipercayai terlibat dalam kegiatan jurugambar tidak berlesen atau ‘ulat foto’, yang didakwa memaksa pelancong asing dan pengunjung membayar pada harga tertentu untuk bergambar di sekitar Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC), semalam.

Ketua Polis Dang Wangi Sazalee Adam berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 24 warga tempatan termasuk seorang wanita dan seorang warga Filipina berusia 16 hingga 48 tahun menerusi operasi bermula 10 malam hingga 1 pagi tadi.

Beliau berkata semua individu terbabit direman tiga hari hingga Khamis ini, untuk siasatan di bawah Seksyen 25(1) Peraturan Pendaftaran Negara.

“Siasatan mendapati mereka ini menjadikan aktiviti mengambil gambar secara paksa sebagai sumber pendapatan dengan bergerak dalam kumpulan di dua lokasi tumpuan utama iaitu Jambatan Saloma dan sekitar KLCC,” katanya pada satu sidang media.

Sazalee berkata pihaknya turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 148/324 susulan kes menyerang dua individu di Persiaran KLCC pada 22 Mac lepas.

Pada 27 Mac lepas, media melaporkan 18 individu berusia 17 hingga 45 tahun itu ditahan di pekarangan KLCC, Jalan Ampang untuk siasatan lanjut berhubung kes terbabit mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Sazalee berkata individu dalam tangkapan terdahulu menggunakan kad pengenalan meragukan yang tidak sepadan dengan cap jari dan semakan dilakukan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati kad pengenalan terbabit tidak sepadan dengan cap jari pemegangnya, sekali gus menunjukkan mereka bukan warganegara.

“Bagi tangkapan terbaru, semakan lanjut masih dijalankan dengan kerjasama pihak JPN kerana kita meragui ketulenan dokumen pengenalan diri milik semua suspek,” katanya.

Sazalee berkata pihaknya akan meneruskan operasi serta pemantauan di kawasan tumpuan pelancong bagi membanteras kegiatan berkenaan.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan termasuklah kegiatan ‘ulat foto’,” katanya.

Tiada ulasan: