Bernama
TOKYO: Dua lelaki maut manakala 16 lagi cedera dalam dua kemalangan berasingan membabitkan kereta berhias tradisional ketika festival di dua bandar di wilayah Osaka, barat Jepun pada Sabtu, menurut polis tempatan, lapor Xinhua.
Di Izumisano, seorang lelaki berusia 51 tahun terperangkap di bawah sebuah kereta berhias yang terbalik ketika menaikinya bersama peserta lain.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di hospital, manakala tujuh yang lain cedera.
Dalam kejadian berasingan di Izumiotsu, sebuah lagi kereta berhias terbalik, menyebabkan seorang lelaki berusia 48 tahun yang terperangkap di bawahnya maut.
Menurut polis wilayah itu, sembilan yang lain cedera.
Kedua-dua kemalangan dipercayai berlaku ketika acara "yarimawashi", antara acara kemuncak festival berkenaan yang menyaksikan sekumpulan peserta menarik kereta berhias tradisional dikenali sebagai "danjiri" pada kelajuan tinggi ketika melalui selekoh.
Menurut polis, peserta yang menaiki kereta berhias itu berisiko hilang keseimbangan.
Polis sedang menyiasat punca kedua-dua kemalangan itu.
-- BERNAMA-XINHUA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan