"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Ibu, bayi maut nahas tiga buah Myvi

AIMUNI TUAN LAH
Keadaan lokasi kejadian melibatkan tiga buah kereta dan sebuah motosikal di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Kampung Paloh 3, Gua Musang hari ini. Foto BOMBA
GUA MUSANG – Seorang wanita dan bayi perempuannya maut, manakala tujuh lagi cedera dalam nahas melibatkan tiga buah kereta dan sebuah motosikal di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Kampung Paloh 3 di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.10 petang sebelum jentera tiba di lokasi kejadian pada pukul 6.08 petang.

Katanya, kemalangan itu membabitkan tiga buah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah motosikal jenis Modenas.

“Pemandu salah sebuah kereta yang merupakan suami kepada wanita itu tersepit di dalam kenderaan, namun dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Kesemua mangsa diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut. Pasukan bomba turut menjalankan kerja pembersihan sisa kemalangan dan tumpahan minyak di lokasi kejadian,” katanya.

Muhammad Azrul memberitahu, jarak lokasi kejadian dengan Balai Bomba Gua Musang sejauh 56 kilometer.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut mengenai punca nahas masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: