"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Saya bukan wanita itu' - Nani Roslan nafi ditangkap dengan Nik Nazmi

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
PETIKAN video Nani Roslan di Instagram.
PETIKAN video Nani Roslan di Instagram.
Kuala Lumpur: Pengacara dan pempengaruh, Nani Roslan menafikan beliau adalah wanita yang dikatakan ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama bekas menteri, Khamis lalu.

Nani berkata, dia tidak menyangka namanya terpalit dengan kontroversi itu sehingga perlu tampil menjelaskan perkara sebenar kepada umum.

"Saya bukan wanita itu. Saya sebenarnya tidak sangka saya perlu tampil untuk menjelaskan perkara ini.

"Namun apabila nama, gambar dan video saya mula dikaitkan dengan pelbagai spekulasi, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya bersuara," katanya dalam hantaran video menerusi Instagram, semalam. 

Menurutnya, apa yang lebih mengecewakannya adalah spekulasi itu bertukar menjadi komen berunsur lucah, menghina, merendahkan maruahnya sebagai seorang wanita.

"Saya percaya tiada wanita berhak untuk menerima komen lucah, direndahkan martabat atau dimalukan berdasarkan spekulasi tidak berasas.

"Malah, ada juga yang membuat tuduhan kononnya saya terbabit dengan rancangan dalam insiden berkenaan. "Saya ingin tegaskan dakwaan itu tidak benar sama sekali," katanya.

Katanya, sepanjang kerjayanya sebagai seorang pengacara profesional, beliau mengendalikan pelbagai program serta majlis membabitkan individu pelbagai latar belakang.

"Sebenarnya sebelum kontroversi ini lagi, saya pernah berhadapan beberapa pihak menyekat dan enggan bekerjasama pada saat-saat akhir hanya kerana mengaitkan pembabitan profesional saya dengan parti politik tertentu.

"Jadi saya ingin menegaskan ketika bekerja, ia tidak bermakna saya mempromosi mana-mana pandangan politik pihak tertentu," katanya.

Nani turut memaklumkan pembabitannya sebagai hos audio siar membabitkan bekas menteri itu sudah berakhir pada 30 September lalu.

"Orang ramai boleh rasa ingin tahu dengan tidak hormat. Saya faham kerana saya pun warga net tetapi jangan sampai kurang ajar.

"Kita kena ingat kebebasan bersuara itu bukan lesen untuk memfitnah yang boleh membawa kepada implikasi undang-undang," katanya.

Semalam, bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan beliau antara dua individu yang ditahan JAIS, Khamis lalu.

Bekas Naib Presiden PKR itu yang kini menerajui parti BERSAMA memaklumkan kejadian berkenaan berlaku ketika beliau bersama rakan-rakan mengadakan perbincangan di sebuah studio di Brickfields, di sini.

Sementara itu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad mengesahkan tangkapan berkaitan kesalahan khalwat membabitkan figura awam dilakukan di sekitar daerah Petaling jam 6 petang, Khamis lalu.

Tiada ulasan: