NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI

Mayat bayi yang dijumpai di Perumahan Padang Setengge, Hulu Terengganu semalam.
HULU TERENGGANU – Seorang wanita berusia 23 tahun diberkas polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi yang tidak sempurna di dalam longkang di Perumahan Padang Setengge, Kuala Berang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, suspek telah ditahan pada pukul 3.30 petang, tadi.
“Dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Berang, di sini esok bagi permohonan tahanan reman.
“Siasatan kes setakat ini menjurus kepada Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan seorang wanita panik menemukan mayat bayi yang hanya tinggal sebelah tangan dan kedua-dua kaki sewaktu membasuh pakaian di belakang rumahnya di Perumahan Padang Setengge.
Hasil bedah siasatan di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu mendapati bayi tersebut sudah meninggal dunia lebih 24 jam sebelum mayatnya ditemui.
Bayi itu juga dipercayai sudah meninggal dunia sebelum sebahagian anggotanya termasuk kepala dan tubuh terpisah dan masih belum ditemui sehingga kini. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan