"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lima lagi MP keluar PKR?

G. Manimaran
KUALA LUMPUR, Feb 14 :
Lima lagi Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) disebut-sebut bakal keluar parti itu — sebahagian daripada tindakan wakil rakyat yang dikatakan kecewa dengan kepimpinan Pakatan Rakyat khususnya PKR sendiri.

Mereka dijangka membuat pengumuman tentang pendirian masing-masing dalam beberapa hari lagi, tindakan yang dikatakan akan menguji kepimpinan penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini berhadapan dengan kes liwat buat kali kedua sejak 1998.

Kelmarin, bekas pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Seri Zahrain Hashim memutuskan untuk keluar PKR berkuat kuasa serta-merta, sekali gus bertindak sebagai Ahli Parlimen Bebas bagi kawasan Bayan Baru.

Beliau merupakan Ahli Parlimen PKR yang pertama berbuat demikian selepas dipilih pada 8 Mac 2008.

“Berdasarkan maklumat semasa, akan ada empat hingga lima wakil rakyat yang mahu keluar PKR, akan umumkan pendirian mereka selepas sambutan Tahun Baru Cina (yang bermula hari ini)... tunggu sidang media kedua depan,” kata seorang sumber kepadaThe Malaysian Insider.

“Ahli-ahli Parlimen melibatkan beberapa negeri termasuk Pulau Pinang,” kata sumber itu lagi. Sidang media pertama merujuk kepada pengumuman Zahrain dua hari lalu.

Kesemua wakil rakyat itu merupakan mereka tiada jawatan penting dalam parti sama ada di peringkat negeri ataupun pusat sekarang.

Kata sumber, mereka berbuat demikian atas beberapa alasan termasuk disebabkan perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinan dan ideologi perjuangan PKR sekarang.

Tanpa menamakan nama wakil rakyat berkenaan, sumber itu berkata, mereka akan keluar PKR untuk bertindak sebagai anggota Dewan Rakyat yang bertaraf Bebas.

“Sama ada mereka akan menyertai parti lain pada masa depan akan mereka tentukan kemudian,” katanya.

Satu lagi sumber memberitahu turut akan mengambil langkah itu ialah pemimpin kanan PKR Pulau Pinang bukan bertaraf wakil rakyat.

Pada Mac 2008, PKR memenangi 31 kerusi Parlimen, PAS 23 manakala DAP pula 28. Daripada 31 kerusi Parlimen dimiliki PKR, empat melibatkan Pulau Pinang.

Selain Zahrain tiga yang lain ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohd Yusmadi Yusoff (Balik Pulau).

Selain nama Zahrain, Yusmadi dan Tan, turut terlibat dalam spekulasi ini sejak dua minggu yang lalu ialah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin, Datuk Rashid Din (Merbok) dan Azan Ismail (Indera Mahkota) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju) serta Loh Gwo-Burne (Kelana Jaya).

Tetapi kecuali Yusmadi semua telah menafikan desas-desus itu.

Zahrain bersama Tan telah diputuskan untuk disiasat oleh lembaga disiplin PKR. Zahrain sebelum ini menafikan akan keluar PKR tetapi berbuat demikian selepas dua minggu lalu mengecam keras Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Anwar sendiri.

Tan sebelum ini pernah memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau juga akan keluar PKR jika keadaan “mendesak”.

Sebelum ini, Pengerusi PKR Pulau Pinang Mansor Othman mengesahkan kepada The Malaysian Insider bahawa tiga hingga empat Ahli Parlimen parti itu akan keluar dan sedang dipikat Barisan Nasional.

Angka itu dikatakan boleh mencecah tujuh hingga 10 orang bagi memberi kelebihan dua pertiga kepada Barisan Nasional di Parlimen.

Sumber itu juga tidak menolak beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri juga akan keluar PKR, mengikut langkah beberapa wakil rakyat yang telah berbuat demikian sebelum ini iaitu membabitkan kerusi Behrang, Changkat Jering, Lunas dan Pelabuhan Klang.

“Beberapa Adun yang tidak berpuas hati kemungkinan keluar hujung bulan ini,” katanya lagi.

Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh sebelum ini berkata tujuh Ahli Parlimen yang disebut-sebut akan keluar parti merupakan mereka yang bimbang tidak akan dicalonkan semula dalam pilihan raya umum ke-13 disebabkan prestasi tidak memuaskan.
-malaysianinsider-

Abdullah Karim jawab Tuan Ibrahim

Exco Pemuda PAS Abdullah Karim - yang mengecam Naib Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dalam isu jawatankuasa disiplin - kini bersumpah dengan nama Allah bagi mempertahankan hujahnya.

"Saya bahkan bersumpah dengan nama Allah bahawa apa yang ditulis oleh Tuan Ibrahim itu adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Tuan Ibrahim pada 3 Februari, antaranya mendakwa aduan Abdullah - berhubung penglibatan ahli PAS dalam "konspirasi menjatuhkan Pakatan Rakyat" - kepada jawatankuasa disiplin tidak dilayan kerana tidak berasas dan dibuat berdasarkan dengar cakap.

Abdullah yang juga timbalan ketua Pemuda PAS Pahang sebelum itu mempertikaikan kewibawaan jawatankuasa tersebut susulan kontroversi penggantungan jawatan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad pada 29 Januari lalu.

Abdullah antaranya dilaporkan membayangkan jawatankuasa disiplin PAS berat sebelah apabila memejamkan mata terhadap aduan-aduan tertentu, termasuk yang dilaporkannya kepada jawatankuasa itu dan pejabat agungnya.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini kelmarin, Abdullah menyatakan keraguannya kemungkinan "terdapat sebab-sebab lain" aduannya ditolak.

"Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah pada bila-bila masa dimaklumkan oleh Tuan Ibrahim atau mana-mana orang lain bahawa aduan saya tidak boleh diambil tindakan kerana ada bukti, atau kerana ia sekadar dengar cakap sahaja, atau kerana sebab-sebab lain yang menyebabkan aduan ini ditolak," katanya.

Kenyataan tidak dibetulkan

Setelah ditegur Tuan Ibrahim sebelum ini, Abdullah berkata, beliau telah menggunakan "saluran yang betul" dengan menghubungi sendiri naib presiden itu melalui panggilan telefon dan e-mel.

"Namun, selepas seminggu berlalu, Tuan Ibrahim tidak menjawab e-mel saya dan tidak juga memperbetulkan tulisan tersebut yang masih kekal ada di dalam blognya.

"Maka, saya tidak mempunyai pilihan bagi menyatakan kebenaran ini melainkan membuat penjelasan terbuka dan saya berharap hal ini dan perkara-perkara lain yang bersangkutan dengannya dapat diperjelaskan di dalam mesyuarat jawatankuas pusat PAS yang akan datang," katanya.

Jawatankuasa pusat PAS akan dijadual bersidang esok di ibu pejabatnya di ibu negara.

Abdullah juga sekali lagi mempersoalkan kedudukan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang mengelolakan aduan kepada jawatankuasa disiplin kerana ia dilihat memberikan kuasa yang cukup besar kepadanya.

Perkara itu juga, tambahnya, menunjukkan jawatankuasa itu seolah-olah hanya menerima arahan dari setiausaha sgung.

"Jika inilah keadaannya, ianya perlu diperbetulkan bagi mengelakkan konflik kepentingan dan juga angapan-anggapan negatif yang lain. Soal menentukan sesuatu aduan tatatertib itu mempunyai merit atau sebaliknya, tidak sepatutnya diputuskan oleh seorang individu sahaja.

Beliau juga sempat menempelak Mustafa yang tidak langsung memanggilnya berhubung aduannya walaupun telah memberitahu media akan melakukannya segera awal bulan ini.
-malaysiakini-

Pinggir Melayu: Pakatan cabar Umno berdebat

Pemimpin Pakatan Rakyat Pulau Pinang berhempas pulas menepis tuduhan bahawa kerajaan negeri meminggirkan masyarakat Melayu dengan mencabar Umno berdebat berhubung perkara itu.

Cabaran itu dibuat dalam forum 'antifitnah' Pakatan malam tadi di pesta Tapak Expo Seberang Jaya di hadapan lebih 1,000 peserta yang hadir.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, dua timbalannya Mansor Othman dan P Ramasamy, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar turut terlibat dalam program itu.

Forum tersebut dibuat ekoran dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang menuduh kerajaan Pakatan pimpinan DAP cenderung menghukum peniaga kecil Melayu berbanding orang Cina.

Selain dewan tersebut, Umno dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) terlibat menganjurkan demonstrasi yang menyaksikan insiden patung Lim dibakar.
-malaysiakini-