Farhana Yaacob

Yahya Hashim, 68 (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang gadis kedi. FOTO NSTP
AYER KEROH: Seorang pesara tentera berpangkat ‘Datuk’ didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang gadis kedi bulan lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Yahya Hashim, 68, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 20 tahun dengan niat mencabul kehormatannya di Padang Golf Tiara Melaka Golf & Country Club, Jalan Gapam, Bukit Katil, di sini, antara jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 25 Ogos lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin menawarkan jaminan RM5,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa berikutan lokasi kejadian adalah tempat mangsa bekerja.
Peguam, Melvin Tay yang mewakili tertuduh, memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya adalah pesara, tidak mempunyai pendapatan tetap dan tinggal bersama isterinya.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa tertuduh mempunyai masalah kesihatan berkaitan prostat yang memerlukan rawatan.
Majistret Uthman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin serta bersetuju dengan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 28 September ini untuk sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan