"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akhbar Media Arus Perdana Di ambang Kebangkrapan

Akhbar-akhbar Malaysia kini sedang mengalami kejatuhan di dalam edarannya apabila pembaca beralih kepada Internet untuk berita-berita terkini dan kisah skandal mirip tabloid untuk bacaan hiburan dan sensasi mereka.

Edaran akhbar arus perdana — The Star, New Straits Times, Utusan Malaysia dan Berita Harian — telah merudum sejak lima tahun belakangan ini, malah di dalam beberapa kes begitu dramatik sekali. Hanya satu akhbar terkecuali iaitu akhbar harian Cina Sin Chew yang memperlihatkan peningkatan.

Angka-angka dari Audit Bureau of Circulations (ABC) menunjukkan dalam masa 2005 ke 2009, edaran The Star jatuh dari 310,000 ke 287,000 (-7.4 peratus), the New Straits Times dari 139,000 ke 111,000 (-20 peratus), Utusan Malaysia dari 213,000 ke 169,000 (-21 peratus) dan Berita Harian dari 204,000 ke 155,000 (-24 peratus).

Walau bagaimana pun Sin Chew, menyaksikan lompatan dari 324,000 ke 382,000 (+18 peratus).

Arah-aliran menurun ini berterusan untuk tahun ini dengan edaran NST menjunam bawah 100,000 naskah beberapa hari sebelum ini.

Selain dari kejatuhan di dalam edaran, akhbar arus perdana juga tidak dapat dijual banyak di luar Lembah Klang, sehingga menjurus persoalan samada mereka upaya untuk mempengaruhi pendapat orang awam sepertimana yang diharapkan oleh Barisan Nasional (BN).

The Malaysian Insider difahamkan editor-editor kanan akhbar ingin memberikan pandangan alternatif dan pembangkang lebih luas dengan kawalan ketat dari Putrajaya dan Umno tetap berterusan.

Kombinasi perubahan citarasa dengan ledakan persaingan Internet telah menyebabkan kejatuhan ini.

Ramai pembaca korporat telah beralih membaca akhbar online dan mengurangkan langganan untuk pejabat mereka.

Masyarakat awam pula dilihat begitu bosan dengan darama politik dengan pendapat bahawa media arus perdana begitu dikawal oleh kerajaan dan dilihat menapis berita-berita yang disiarkan.

Satu kajian dari pihak bebas, Merdeka Center menemukan 54 peratus Melayu dan 55 peratus Cina tidak percaya dengan laporan dari media arus perdana.

Pelajar-pelajar kolej pula, samada tidak yakin dengan media arus perdana atau mengabaikannya terus, lebih suka mempelbagaikan sumber untuk mendapatkan maklumat dan hiburan. -petikan dati
TMI Terjemahan bebas GB.

Nik Aziz: ‘Allah akan laknat jika pemimpin agama bakar al-Quran’

KOTA BARU, 10 Sept: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata rancangan paderi di Amerika Syarikat untuk membakar al-Quran sebagai sempena ulang tahun kesembilan serangan pengganas ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) sebagai tindakan di luar jangkaan manusia.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, Allah Taala akan laknat jika ada pemimpin agama seperti itu.

Katanya, cadangan paderi berkenaan tidak masuk akal kerana mereka orang berilmu, yang tahu bahawa Islam bukanlah agama pengganas dan golongan ini boleh membuat kajian mengenai agama Islam dalam pelbagai bahasa.

Malah, katanya persoalan siapa yang bertanggungjawab ke atas serangan WTC sehingga hari ini belum dikenal pasti lagi.

“Kalau kata komunis bakar nak bakar al-Quran itu munasabah kerana mereka tiada beragama, sedangkan paderi Kristian adalah orang yang berilmu dan boleh membuat kajian mengenai agama Islam dalam pelbagai bahasa.

Beliau tahu bahawa Islam tidak perlu khianat kepada orang lain, jadi tak ada sebab mereka boleh bertindak demikian.

Nik Aziz berkata demikian kepada pemberita pada rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Pulau Melaka, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan Amerika Syarikat membidas rancangan membakar al-Quran.

Menurut kenyataan Kedutaan Amerika Syarikat di sini, kerajaan negara itu memandang tindakan sengaja memusnahkan sebarang buku suci adalah menjijikkan dan menimbulkan perbalahan, sesuatu yang ditolak oleh majoriti rakyat Amerika.

“Kami mempunyai penghormatan tidak berbelah bagi untuk al-Quran dan Islam sebagai salah sebuah agama teragung di dunia,” katanya.

Kenyataan itu menyebut semalam Presiden Barack Obama telah menyatakan cadangan kumpulan itu adalah bertentangan dengan nilai-nilai rakyat Amerika.

Selain itu, pertubuhan Islam Utara Amerika turut mengadakan sidang kemuncak antara agama pada 7 September lalu bagi menyatupadukan masyarakat pelbagai agama bagi menggalakkan toleransi dan menentang retorik anti-Islam. Wakil-wakil pada sidang itu termasuk pemimpin Kristian, Yahudi dan Islam.

Dalam perkembangan terbaru , Paderi Terry Jones dari Dove Outreach Center di Gainesville, Florida — yang mencetuskan kemarahan antarabangsa itu — telah memutuskan untuk menggantungkan rancangannya itu.

Di Johor Baru, Diokese Gereja Katolik Melaka-Johor hari ini mengutuk rancangan gereja di Gainesville itu.

Dalam kenyataannya, Biskop Paderi Tan Chee Ing menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bermoral.

“Kami tidak mempunyai hak mencaci kepercayaan agama lain. Saling menghormati dan penerimaan merupakan langkah ke arah mencapai keharmonian,” katanya.

-Bernama-

MB K'tan tak terima surat rasmi istiadat pemasyhuran

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau belum menerima surat rasmi dari istana mengenai pemasyhuran Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan Isnin ini.

Katanya sehingga kini beliau tidak mendapat sebarang khabar mengenai perkara itu daripada mana-mana pihak.

"Saya kalau boleh tidak mahu komen sebarang perkara berkaitan istana (Kelantan)," katanya kepada Bernama hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata demikian mengulas laporan sebuah akhbar yang memetik sumber bahawa pemangku Raja Kelantan dipercayai akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Isnin ini bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra yang gering sejak setahun lalu.

Istiadat pemasyhuran itu dikatakan bakal berlangsung di Balairong Seri Istana Balai Besar di sini bermula pada pukul 11.30 pagi.

Sementara itu Pengelola Istana DiRaja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad ketika dihubungi Bernama berkata beliau enggan mengesahkan mengenai istiadat pemasyhuran itu.

"Saya tidak mahu mengesahkan dan juga tidak mahu menafikan perkara itu. Saya juga tidak mendapat perintah daripada pemangku Raja untuk mengeluarkan sebarang kenyataan tentang perkara itu," katanya.