KOSMO!

LEBIH 400 kucing diselamatkan Polis Bandar Raya Ho Chi Minh pada Jun lalu. - Phuong Tham / Humane World for Animals Viet Nam
HANOI – Polis Vietnam menangkap 12 lelaki kerana mencuri dan menjual kira-kira 2,700 ekor kucing, kata Polis Bandar Raya Ho Chi Minh seperti laporan stesen berita BBC.
Perangkap kucing, mesin pembuang bulu dan alat penimbang adalah antara barangan yang dirampas semasa siasatan.
Kesemua suspek mengambil haiwan peliharaan itu untuk disembelih dan dagingnya dijual bagi dijadikan makanan.
Polis Bandar Raya Ho Chi Minh berkata, suspek merayau di kawasan perumahan dalam kumpulan kecil dengan menaiki motosikal pada waktu malam untuk mencuri kucing.
Menurut media tempatan, lelaki-lelaki terbabit menggunakan potongan ikan sebagai umpan dengan meletakkan perangkap di luar rumah yang mereka tahu ada membela kucing.
Sebanyak 13 ekor kucing yang berjaya diselamatkan dipulangkan kepada pemilik masing-masing, kata polis lagi.
Menurut organisasi perlindungan haiwan Humane World for Animals, dianggarkan lima juta anjing dan sejuta kucing ditangkap, dicuri, didagangkan dan disembelih untuk mendapatkan dagingnya di Vietnam pada setiap tahun.
Penggunaan daging anjing dan kucing sah di negara tersebut, di mana banyak restoran mengiklankannya secara terbuka dalam menu mereka.
Bagaimanapun, penjual memerlukan permit untuk menunjukkan asal usul haiwan berkenaan.
Menurut polis, setiap kumpulan mencuri secara purata empat hingga 10 ekor kucing pada satu malam.
12 suspek itu mengaku mencuri sekitar 2,700 ekor kucing. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan