"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Darimana Gelaran Datuk Diperolehi Suspek Pembunuh Sosilawati?

Mohd Sayuti Omar
SEBENARNYA sejak hari pertama suspek pembunuh Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya didedahkan kepada umum oleh media massa saya sudah ingin menanyai hal ini. Tetapi kerana kesibukan menyebabkan pertanyaan ini tersimpan dan baru malam ini saya ingin lontarkan.

Apa yang hendak saya tahu dan saya percaya orang lain juga, mengenai gelaran Datuk yang diberikan kepada peguam keturunan India itu. Biasanya gelaran Datuk dikurnikan oleh Sultan ataupun Yang Dipertuan Negeri saja. Lain-lain orang tidak berhak atau valid untuk memberi anugerah berkenaan.

Penganugerahan Datuk itu pula diberikan kepada mereka yang berjasa dan berbakti kepada sultan dan jajahan takluknya. Kalau dulu seseorang itu diberi gelaran atau diangkat menjadi panglima bila dia berjasa kepada negeri misalnya berjaya membunuh petualang negara.

Dalam kes suspek pembunuh Sosilawati ini raja atau sultan, atau Yang Dipertuan Negeri manakah yang memberi gelaran berkenaan. Saya merasakan kalau gelaran itu sah dan benar dikurniakan oleh sultan atau raja, apakah ia wajar masih dikekalkan kerana peguam berkenaan setelah dirinya tercemar atau imejnya sudah jadi buruk?

Benar beliau masih belum diadili dan belum didapati bersalah. Tetapi dengan pendedahan dan pengetahuan umum terhadapnya ia meletakkan suspek itu begitu kotor, jijik dan cemar di mana ia tidak wajar lagi memakai gelaran datuk itu?

Mungkin tidak menjadi kesalahan kalau disarankan supaya sultan atau raja atau mana-mana pihak yang memberi gelaran itu menarik balik gelaran berkenaan demi menjaga air muka dan wibawa serta kemuliaan gelaran berkenaan. Apakah seorang suspek sebagai penjenayah boleh dipanggil Datuk?

Saya bimbang ia boleh mengelirukan orang tidak faham mengenai hal ini. Anak-anak sekolah akan beranggapan bahawa Datuk juga boleh melakukan jenayah. Dengan apa yang berlaku itu menjelaskan peguam berkenaan tidak menjaga kemuliaan darjah kebesaran berkenaan.

Kalau ada sultan melucut atau menarik gelaran Datuk daripada orang yang dikurniakan kerana dikatakan melakukan kesalahan atau mencemar nama baik sultan atau institusi istana apa hal pula dengan peguam berkenaan? Apakah dia juga tidak mencemarkan nama sultan dan raja yang memberi gelaran itu dengan apa yang berlaku ke atas dirinya kini?

Ataupun Datuk itu dikurniakan oleh raja atau sultan di luar negara ini. Ataupun datuk itu dibeli daripada mana-mana kesulatan yang tidak sah dan sudah hilang daulatnya maka itu ia masih belum diambil apa-apa tindakan ke atas penganugerahan itu kepada peguam berkenaan? 

Polis Lebih Tumpu Kes Berprofil Tinggi - Khalid Samad

SHAH ALAM 19 SEPT: Kegagalan polis merungkai kehilangan empat individu hilang yang ada kaitan dengan suspek kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, mengambarkan pihak berkuasa itu cuma memandang berat kes berprofil tinggi.


Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kesal kerana empat laporan orang hilang dengan aduan terbaru dibuat Januari lalu, tidak mendapat layanan sebagaimana siasatan polis terhadap kes pembunuhan jutawan kosmetik itu.

"Tindakan polis patut dipuji dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati kerana kita dapat lihat betapa cepat dan lancar polis sejak mendapat laporan kehilangan jutawan itu. Dari proses mencari bukti hinggalah kepada penangkapan suspek.

"Tetapi, pada masa sama, polis gagal mengambil tindakan terhadap empat laporan terdahulu yang antaranya kehilangan seorang peniaga warga India yang dikaitkan secara langsung dengan suspek kes ini. Tindakan yang tidak konsisten ini menimbulkan tanda tanya.

“Adakah kerana kes ini berprofil tinggi? Apakah polis memilih kes berdasarkan profil dan menyebabkan tiada tindakan berkesan ke atas kes kehilangan lain lantaran mangsa adalah individu yang tidak dikenali dan tiada hubungan politik?"
Bercakap kepada TV Selangor, Khalid yakin, jika polis menggunakan sumber tenaga yang sama dalam kes Sosilawati ketika mengendalikan kes orang hilang, suspek mungkin tidak berpeluang melakukan jenayah lagi.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan suspek itu yang dikaitkan dengan sebuah parti komponen kerajaan pemerintah, mengguna saluran politik bagi mengelak siasatan polis.

Katanya, situasi seumpama itu memberi gambaran jelas berkaitan isu campur tangan pihak ketiga yang didedahkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, hingga menjejaskan keupayaan pihak berkuasa itu.

Meminta polis memberi layanan sama rata terhadap aduan yang diterima tanpa memandang darjat pengadu, Khalid berkata, polis berupaya bertindak cekap jika tiada campur tangan pihak ketiga tetapi hal sebaliknya berlaku apabila mendapat halangan dari pihak berkepentingan.
-tvselangor-

Mahdzir Khalid hang tak reti kira ka?

Mohd Shubihi Muhamad Zain
ALOR SETAR, 19 Sept: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak meminta Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid meneliti laporan audit negara bagi mendapatkan bukti peningkatan hasil negeri 205 peratus seperti yang dikehendakinya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media ketika meraikan puluhan ribu pengunjung berbilang bangsa ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, petang semalam.

Kelmarin, bekas Pengerusi Perhubungan Umno Kedah yang digugurkan itu meminta kerajaan negeri memberikan penjelasan mengenai dakwaan terdapat peningkatan mendadak hasil negeri 205 peratus tetapi tiada sebarang pembangunan yang dilaksanakan di negeri itu.

Menurut Azizan, laporan audit tersebut secara jelas menunjukkan peningkatan hasil negeri yang amat ketara selepas Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran dari Barisan Nasional (BN) yang diterajui Mahdzir.

"Laporan audit negara dibentangkan di dalam parlimen, kalau dia nak pertikai, bermakna dia tak yakin dengan apa yang dibahaskan di parlimen.

"Pembalakan menyumbang kepada peningkatan hasil yang amat ketara, dari RM8 juta setahun menjadi RM38 juta setahun. Budak sekolah pun boleh beza yang mana lebih tinggi di antara kedua-dua angka itu," katanya sinis.

Menurutnya lagi, bidang pertanian masih menjadi penyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah seperti tahun-tahun sebelumnya walaupun tidak mengalami peningkatan yang ketara seperti bidang pembalakan.