"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli PAS demo bantah naik tarif air Kedah

Kira-kira 30 anggota PAS hari ini mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat Menteri Besar Kedah bagi membantah kenaikan tarif air di negeri ini yang bermula 1 Oktober lepas.

Mereka turut menghantar satu memorandum bantahan kepada Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak, lapor agensi berita nasional Bernama.

Dalam memorandum berkenaan, kumpulan itu mendesak supaya kerajaan negeri menarik balik keputusan menaikkan tarif air yang memberi kesan terhadap golongan miskin, mendesak Menteri Besar supaya mendedahkan perjanjian antara Syarikat Air Darul Aman (Sada) dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang dikatakan merugikan rakyat dan mendesak Menteri Besar meletakkan jawatan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Kedah.

Wakil Jawatankuasa Bertindak Membantah Kenaikan Isu Air, Abdullah Hashim dipetik sebagai berkata demonstrasi dan memorandum itu dibuat bagi membantah kenaikan tarif air yang dibuat kerajaan negeri dan Sada kerana ia tidak wajar memandangkan ia amat membebankan rakyat di negeri ini.

"Saya amat kesal dengan beliau (Azizan) yang sengaja membebankan rakyat dengan kenaikan tarif air bermula 1 Okt lalu," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Menteri Besar, Zulkapli Osman di Pejabat Menteri Besar Kedah, di Wisma Darul Aman di Alor Star hari ini.

Turut serta dalam demontrasi itu adalah bekas Setiausaha PAS Cawangan Sungai Limau Mohd Najid Fahami Yahaya, bekas Setiausaha Kerja PAS Kedah Md Noor Abd Rahman dan bekas wartawan Harakah Kedah Zainun Ismail.

"Beban yang sama turut ditanggung oleh 12 Sekolah Agama Rakyat (SAR) di seluruh Kedah yang tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh serta tidak mendapat peruntukan oleh kerajaan negeri bagi membayar bil air yang dikatakan terlalu tinggi itu," kata Abdullah seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata ini membuktikan kerajaan negeri hanya membuat janji-janji kosong kepada rakyat bagi meraih simpati daripada rakyat Kedah supaya menyokong PAS agar membolehkan mereka memerintah kerajaan negeri seperti sekarang.

Katanya dalam manifesto pilihan raya umum ke-12 lalu, PAS berjanji akan menjaga kebajikan rakyat dengan menurunkan caj air dan meningkatkan kualiti bekalan air di negeri ini namun ia tidak ditunaikan oleh Azizan.

Abdullah yang juga bekas Ketua Pemuda Pas Kedah berkata sejak kerajaan negeri diambil alih oleh PAS, kualiti air di negeri ini pada tahap yang tidak memuaskan dan saban hari mereka terpaksa menggunakan air yang berkeladak dan berwarna kuning.

"Ini membuktikan kerajaan negeri pada hari ini tidak peka dan perihatin dengan nasib yang menimpa rakyat. Ia tidak seperti sewaktu pemerintahan kerajaan BN yang sentiasa mengambil berat mengenai nasib rakyat dari semasa ke semasa," katanya.

Sehubungan itu jika Azizan tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut, mereka mahu Azizan meletakkan jawatan segera dan digantikan pemimpin lain yang mampu melakukan tugas dengan baik dan mahu membela nasib rakyat dan bukan cakap-cakap kosong.

'Siapa pula bawa Rahimi masuk pajabat PKR?'

Terdapat persoalan 'misteri' yang tidak pernah dibincangkan oleh anggota PKR tentang Rahimi Osman, iaitu siapakah yang membawanya masuk ke ibu pejabat PKR?

"Kita sudah tahu, Rahimilah dalang membawa (Mohd) Saiful Bukhari (Azlan) menjadi salah seorang pegawai khas Anwar.

"Tetapi, persoalan yang lebih penting yang tidak pernah kita semua perbincangkan, siapakah yang membawa Rahimi masuk ke ibu pejabat PKR dan menjadi pegawai khas Anwar?" soal naib presidennya Mustaffa Kamil Ayub.

Minggu lepas, Rahimi - bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim - mendakwa beliau dipaksa dua peguam PKR Latheefa koya dan Saiful Izham Ramli untuk menandatangani akuan bersumpah bagi mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dan isterinya dalam kes dakwaan liwat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Latheefa dan Saiful - kedua-duanya juga pemimpin PKR - bagaimanapun menafikannya. Mereka sebaliknya mendakwa akuan bersumpah itu dibuat secara sukarela.

Dalam satu kenyataan semalam, Musaffa berkata, alangkah liciknya mainan "pembesar-pembesar Umno sehingga anggota parti pun tidak dapat menghidu rancangan busuk dan tidak bermaruah ini".

"Saya sangat yakin orang-orang Najib mahu rakyat melihat parti ini sudah didalangi dalang-dalang politik busuk yang bermasalah," dakwa Mustaffa yang juga pengerusi PKR Perak.

Beliau juga mendawa Rahimi tampil mengatakan dipaksa menamakan Najib dan Rosmah dalam akuan bersumpahnya semata-mata untuk melindungi kepentingan kedua-dua mereka.

"Rakyat dan anggota parti mahu diperbodohkan lagi dengan memadamkan nama kedua-dua peribadi misteri ini," kata Mustaffa sambil mempertikaikan kenapa Rahimi "beriya-iya" mahu memadamkan nama itu sekarang.

"Tidakkah kita hairan, mengapa Najib-Rosmah begitu berdiam diri dan sangat defensif walhal Rahimi bermati-matian cuba memadamkan nama kedua-dua peribadi itu dalam akuan bersumpahnya," katanya.

Air: Selangor tidak bersimpati kebajikan rakyat

waksab


PUTRAJAYA 7 Okt.: Kerajaan negeri Selangor sebenarnya tidak pernah bersimpati dengan kebajikan rakyat negeri itu kerana sanggup membiarkan penduduknya berdepan risiko kekurangan bekalan air menjelang tahun 2014.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, ini kerana kerajaan negeri dilihat seperti cuba melengah-lengahkan pelaksanaan Loji Rawatan Air Langat 2.

Menurut beliau, sekiranya kerajaan negeri Selangor benar-benar ikhlas mahu menjaga kepentingan rakyatnya, sokongan dan kerjasama penuh sewajarnya perlu diberi terhadap inisiatif yang diusahakan oleh Kerajaan Persekutuan.

"Ini termasuk dalam menyokong pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 yang tidak seharusnya dikaitkan dengan isu penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam bahawa kementeriannya telah mengugut untuk menyaman kerajaan negeri yang disifatkannya sebagai tidak tepat sama sekali.

Abdul Khalid dilaporkan berkata, kerajaan Selangor berpendapat kerajaan Persekutuan sepatutnya bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyelesaikan rundingan penstrukturan semula industri air di Selangor yang telah tertangguh hampir dua tahun.

Pada 5 Ogos lalu, Peter memberi tempoh sehingga akhir tahun ini kepada kerajaan negeri Selangor untuk memberi persetujuan terhadap pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 untuk bekalan di Lembah Klang.

Komen Wak: 
Kerajaan negeri Selangor tidak simpati dengan kebajikan rakyat??Huh sekali Wak baca macam tak percaya jer..Selama ni Mak Wak di kg x pernah dah bayar bil air..habis sapa yang bayar?Kerajaan negeri Selangor yang tak simpati pada rakyat la..Wak pun kini sejak dah dapat meter tunggal pun merasai nikmatnya,Jika selama ini kena bayar bil air pada pemaju rm40 ke rm60 sebulan kini air percuma jer..pasal Wak dah tinggal berdua je sejak anak masuk asrama.

Kerajaan negeri Selangor bukan tak nak naik taraf dan rasanya alasan bahawa pada 2014 Selangor akan ketiadaan air yang mencukupi adalah alasan yang cukup dangkal sekali. Langsung tidak bersandarkan kepada fakta yang bahawa air di Selangor adalah lebih mencukupi jika tidak kerana pembaziran air yang berleluasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan PutraJaya. Sapa yang tanggung air mereka. Negeri Selangor jugak. Tetapi kerana tiada kajian yang menyeluruh dan fakta-fakta jelas menyebabkan kerajaan negeri Selangor kini menolak untuk menaik taraf bekalan air keran lebih kepada memberikan projek kepada kroni dan sekaligus menambah bebanan kepada rakyat dimana rakyat negeri Selangor pasti akan merasai takrif air akan dinaikkan dan sekaligus nikmat 20 meter padu air percuma tidak akan dinikmati oleh Rakyat lagi.

Berita berkaitan