Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my

SUAMI mangsa kemalangan sebak dengan pemergian isterinya dalam kejadian di Jalan Skudai Pantai Lido, petang semalam. FOTO tular
Johor Bahru: Seorang wanita yang baharu dua bulan mendirikan rumah tangga maut selepas motosikal dinaikinya bersama suami terbabit dalam kemalangan di Pantai Lido, di sini, petang semalam.
Menerusi beberapa perkongsian ahli keluarga dan kenalan pasangan itu di Facebook (FB), kejadian berlaku selepas pasangan berkenaan melawat kenalan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Difahamkan, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada pertengahan Mei lalu.
Gambar menyayat hati suami mangsa yang sebak memeluk isterinya di lokasi kejadian turut dikongsi di media sosial.
Kejadian itu turut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial apabila ada pengguna mendakwa ia berpunca daripada aktiviti lumba haram.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei menegaskan hasil siasatan awal mendapati kejadian itu tidak berkaitan dengan aktiviti lumba haram.
Menyentuh lanjut mengenai kemalangan itu, Azrul Hisham berkata, kemalangan membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta itu berlaku pada jam 7.50 petang semalam di Kilometer 2, Jalan Skudai Pantai Lido menghala ke Skudai.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku motosikal Yamaha 135 LC yang ditunggang mangsa bersama isterinya - masing-masing berusia 25 tahun - membuat pusingan U menghala ke Skudai.
Katanya, motosikal mangsa kemudian dirempuh dari belakang oleh motosikal Yamaha Y125 yang ditunggangi lelaki tempatan berusia 23 tahun.
"Rempuhan itu menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan hingga terbabas, manakala isterinya terjatuh di tengah jalan dan disahkan maut di lokasi kejadian.
"Dalam kejadian sama, sebuah motosikal Yamaha Y125ZR yang ditunggang lelaki tempatan bersama tunangnya turut terbabas sebelum merempuh sebuah kereta," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera menerima rawatan di HSA.
Difahamkan, mangsa mendirikan rumah tangga dengan suaminya yang bekerja sebagai tukang gunting rambut pada pertengahan Mei lalu.
Arwah, Siti Nur Aisyah Mohd Amin dijangka dikebumikan di kampung halamannya di Dabong, Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan