"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penemuan rangka dalam guni, polis tunggu pengesahan forensik

Amira Suraini Che Mohamad
Rangka yang ditemukan di dalam sebuah guni di kawasan kebun berhampiran sebuah kilang beras, semalam – Foto tular
KANGAR: Polis mengesahkan rangka yang ditemukan di dalam sebuah guni di kawasan kebun berhampiran sebuah kilang beras di sini semalam lengkap dengan tengkorak, namun belum dapat dipastikan sama ada ia rangka manusia atau haiwan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata pengesahan hanya dapat dibuat selepas laporan analisis forensik diperoleh.

Beliau berkata, proses analisis dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu sebelum polis dapat menentukan jenis tulang dan rangka yang ditemukan.

“Memang ada tengkorak bersama rangka yang ditemui, namun setakat ini kita belum dapat mengesahkan sama ada ia tengkorak manusia atau haiwan,” katanya kepada Buletin TV3.

Menurut beliau, polis juga belum dapat menentukan seksyen undang-undang yang akan digunakan bagi menyiasat kes berkenaan kerana ia bergantung kepada hasil laporan forensik.

Semalam, media melaporkan seorang pekebun lelaki menemukan sebuah guni yang sudah reput ketika melakukan kerja-kerja meracun di sebuah kebun berhadapan sebuah kilang beras di Kangar.

Pemeriksaan awal mendapati guni berkenaan mengandungi rangka sebelum penemuan itu dilaporkan kepada polis pada jam 10.48 pagi.

Sejurus menerima maklumat, sepasukan polis bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan mengumpul bahan bukti sebelum rangka berkenaan dihantar bagi menjalani analisis forensik.

Polis meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penemuan itu sehingga keputusan analisis forensik diperoleh.

Tiada ulasan: