"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 remaja maut nahas 3 kenderaan di Perak

Bernama

IPOH: Dua remaja perempuan maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit nahas tiga kenderaan di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan, semalam.

Ketua Polis Hilir Perak, Chua Kok Lian, berkata pihaknya menerima maklumat kira-kira 6.35 petang Ahad.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya, sebelum melanggar sebuah motosikal dan sebuah kenderaan lain serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, dua remaja yang juga penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta terbabit serta kanak-kanak lelaki itu dihantar ke Hospital Teluk Intan bagi mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, pemandu kereta itu kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Tiada ulasan: