"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas 26 tahun, wanita disahkan sebenarnya lelaki

Agensi

Beijing: Seorang wanita berusia 26 tahun disahkan dilahirkan tanpa rahim dan ovari, selain secara biologi adalah lelaki selepas menjalani pemeriksaan kesihatan, lapor the Global Times.

Wanita yang dikenali sebagai Li itu bekerja di Shenzhen, wilayah Guangdong, selatan China.

Semasa menjalani pemeriksaan kesihatan yang dianjurkan syarikat tempatnya bekerja, imbasan ultrabunyi mendapati dia tidak mempunyai rahim, ovari atau tiub fallopio, selain terdapat jisim pada kedua-dua sisi rongga abdomennya.

Ujian kromosom kemudian mengesahkan Li secara biologi adalah lelaki, sebelum pemeriksaan lanjut mendapati dia menghidap Complete Androgen Insensitivity Syndrome (CAIS) atau Sindrom Ketidakpekaan Androgen Menyeluruh.

Menurut media sama, sindrom ketidakpekaan androgen adalah gangguan keturunan yang berpunca daripada mutasi pada gen reseptor androgen (AR).

Keadaan itu menyebabkan individu yang mempunyai kariotip 46, XY gagal membentuk ciri fizikal lelaki yang lazim dan akhirnya memiliki penampilan luaran seperti wanita.

Difahamkan, Li mempunyai penampilan wanita, alat kelamin luaran wanita dan faraj, namun tidak mempunyai rahim serta ovari.

Keadaan itu bermakna dia tidak akan mengalami haid atau mampu mengandung, manakala jisim yang dikesan dalam abdomennya sebenarnya adalah sepasang testis yang tidak turun ke kedudukan normal.

Li berkata, dia turut memaklumkan keadaan kesihatannya kepada teman lelakinya ketika itu, namun mereka kemudian berpisah disebabkan perbezaan personaliti.

Dia mengakui keadaan fizikalnya menyebabkan tekanan dari segi psikologi dan fisiologi.

Li berkata, dia tidak pernah memberitahu ibu bapanya bahawa dia tidak mengalami haid sejak di bangku sekolah menengah kerana berasa malu untuk membincangkan perkara itu.

Selepas salah satu testisnya mengalami perubahan patologi, dia menjalani pembedahan membuang testis kiri yang tidak turun ke kedudukan normal atas saranan doktor.

Li yang kini kembali menjalani rutin kerja seperti biasa berkata, dia berharap dapat mengambil seorang anak angkat suatu hari nanti kerana amat menyayangi kanak-kanak dan pernah mengikuti pengajian pendidikan prasekolah di universiti.

Tiada ulasan: