"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Sebaik nampak dia bawa pistol, kami terus meniarap dan sembunyi' - Saksi

Audrey Dermawan
LOKASI tembakan yang menyebabkan seorang lelaki  cedera di luar premis perniagaan di Jalan Perniagaan Seri Tambun, Simpang Ampat hari ini. FOTO NSTP/ Audrey Dermawan.
LOKASI tembakan yang menyebabkan seorang lelaki cedera di luar premis perniagaan di Jalan Perniagaan Seri Tambun, Simpang Ampat hari ini. FOTO NSTP/ Audrey Dermawan.
Simpang Ampat: Seorang wanita langsung tidak menyangka bunyi yang disangkakan tayar treler meletup, sebenarnya berpunca daripada beberapa das tembakan yang dilepaskan.

Wanita itu yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian dia berada di kaunter pembayaran sebuah kedai makan bersama beberapa pekerja dan bunyi kedengaran bermula kira-kira 10 pagi.

"Kami ingat bunyi itu datang daripada tayar lori atau treler yang meletup kerana kenderaan berat memang kerap melalui jalan ini.

"Beberapa ketika kemudian, seorang lelaki tiba-tiba berlari masuk ke dalam kedai. Ketika itulah kami sedar berlaku kejadian tembakan di luar," katanya ketika ditemui.

Terdahulu, seorang lelaki berusia 38 tahun yang mempunyai rekod jenayah lampau cedera ditembak di luar deretan rumah kedai di Jalan Perniagaan Seri Tambun di sini hari ini.

Kejadian berlaku selepas mangsa dilaporkan selesai bersenam di sebuah gimnasium dan singgah di sebuah kedai serbaneka dalam bangunan yang sama untuk membeli telur.

Menurut wanita itu lagi, dia tidak melihat suspek dengan jelas kerana segera menyelamatkan diri bersama beberapa pekerja apabila seorang lelaki memasuki premis sambil memegang pistol.

"Sebaik nampak dia bawa pistol, kami semua terus meniarap dan sembunyi. Kami hanya bangun selepas keadaan kembali senyap dan tiada lagi bunyi tembakan.

"Barulah kami sedar seorang lelaki telah cedera," katanya.

Katanya lagi, mangsa bukan pelanggan kedai makannya, sebaliknya melarikan diri dari sebuah premis berhampiran sebelum memasuki restoran itu untuk mendapatkan perlindungan.

Wanita itu turut bersyukur kerana premis tidak dipenuhi pelanggan ketika kejadian kerana kebanyakan mereka yang bersarapan di situ sudah beredar ke tempat kerja.

"Mujur tidak ramai pelanggan ketika itu. Jika kejadian ini berlaku lebih awal, keadaan mungkin menjadi jauh lebih huru-hara," katanya.

Polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Tiada ulasan: