"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno ambil pendekatan 'bersaudara' dengan PAS Kelantan

N Faizal Ghazali

Walaupun bahang pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) semakin terasa, Umno Kelantan memilih untuk tidak menghentam kerajaan negeri di bawah pemerintahan parti PAS yang sejak puluhan tahun lalu menjadi seteru politiknya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pihaknya kini mengambil pendekatan bertanggungjawab dan tidak menghentam terlebih dahulu.

"Semua kita bersaudara. Seperti saya sebutkan di Pasir Mas (sebelum ini), kita bersaudara - Islam dan Melayu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Umno negeri itu di Kota Bharu, hari ini.

Kejutan terbesar Fastaqim 2.0 ialah...
Menurut menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu Umno Kelantan tidak mahu timbulkan perasaan marah atau pun perbalahan dengan PAS.

"Cuma apabila berlaku kelemahan, sudah tentu kita bangkitkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai pendekatan Umno Kelantan yang kini dilihat tidak lagi mengambil langkah menyerang prestasi pentadbiran kerajaan negeri yang sekarang diketuai Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Mustapa yang juga anggota parlimen Jeli berkata, Umno Kelantan mengambil maklum mengenai rasa tidak puas hati rakyat negeri itu terhadap kerajaan negeri.

Antara isu utama yang meresahkan penduduk Kelantan, katanya, ialah masalah bekalan air bersih yang masih berlarutan sekian lama.

"Ladang Rakyat pun senyap-sunyi, tak ada penerangan apa-apa. Rakyat berhak mengetahui masalah hasil di Kelantan.

"Hasil emas atau lain-lain, kita nak tahu lebih banyak lagi (mengenai) pembelaan terhadap anak muda, isu perumahan dan pekerjaan," katanya.

Bukan lima tahun

Kenyataan Mustapa itu dibuat kurang dari seminggu selepas seorang lagi tokoh Umno Kelantan mendakwa PAS dan Umno memiliki DNA yang sama.

Menurut Tan Sri Annuar Musa walaupun kedud-dua parti menjunjung ideologi dan cara berbeza, mereka mempunyai matlamat yang sama iaitu memperjuangkan kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

Katanya, jika dulu PAS dilihat mencari-cari perbezaan antara parti itu dengan Umno, namun di bawah pucuk kepimpinan yang ada sekarang berlaku sedikit perubahan apabila mereka mula mencari titik kebersamaan itu.

"Oleh kerana PAS itu daripada DNA yang sama maka saya berkeyakinan dia ada titik pertemuan. Selama mana pun dia pergi, dia tidak akan berjalan selari...akan ada titik pertemuan. Maka bagi kita titik persamaan ini marilah kita meraikannya," kata Annuar.


Mustapa juga menjelaskan sebanyak tujuh projek perumahan diluluskan kerajaan persekutuan di negeri itu.

Sementara itu ditanya mengenai persiapan Umno Kelantan menghadapi PRU ke-14, beliau berkata, Umno Kelantan menubuhkan jawatankuasa manifesto bagi merangka tawaran yang akan dihidang kepada pengundi negeri itu.

Katanya, jawatankuasa itu akan diketuai oleh bekas calon menteri besar Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussein dan asas manifesto itu memberi tumpuan terhadap rekod prestasi kerajaan PAS.

"Kita ada draf yang akan dibuat dalam seminggu dua lagi sebelum ditambah baik dengan hal-hal lain termasuk manisfesto pencapaian kerajaan PAS sejak 27 tahun.

"Kita merangka (berdasarkan) 27 tahun, bukan lima tahun. Bukan rekod prestasi kerajaan negeri sejak PRU ke-13, tapi sejak 1990. Apa yang tidak dibuat," jelasnya.
-malaysiakini

PRU14: Pas akan jadi parti paling rugi

ARIF ATAN  
Semakin hampir Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), AMANAH Selangor berpendapat pimpinan Pas sedang merangka perancangan tertentu atau terus bersendirian dalam menentang Umno-BN.

Pengerusi AMANAH Selangor, Ir Izham Hashim berkata, keputusan Pas tersebut juga sedang dinanti-nantikan penyokong parti hijau itu yang dilihat tidak mustahil akan mengundang lagi perpecahan.

“Kalau (Pas) tak pergi mana-mana dan berlaku (pertandingan) tiga penjuru (dalam PRU14) di semua tempat, Pas akan menjadi parti yang paling rugi.

“Kecualilah kalau Pas guna hujah, ‘kami kalah pun tidak mengapa, mencari redha Allah, sudah takdir’ seperti yang selalu disebut sebelum ini,” bidasnya ketika ditemui Malaysia Dateline selepas menghadiri Wacana Pendidikan Nasional: Membina Negara Bangsa di Shah Alam, semalam.

Menurut Izham, Pas dalam keadaan tertekan dan dalam masa terdekat terpaksa membuat keputusan sama ada bersama Pakatan Harapan atau BN kerana pimpinannya menyedari mereka tidak boleh bersendirian.

“Dia (Pas) pun mesti sudah tahu. Dia hanya jadi pengacau kalau bersendirian. Bahkan, dia boleh hilang Kelantan.

“Dia mesti ada satu perancangan. Saya tidak sebut bergabung dengan Umno secara terus-terang. Ahli Pas sedang tertunggu-tunggu. Bila makin dekat PRU dia (pimpinan Pas) tidak berani nak buat (umum gabung dengan Umno),” ujarnya.

Beliau menyifatkan surat amaran daripada bekas Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kerjasama dengan Umno menambah lagi tanda tanya ahli Pas.

“Datuk Husam kata memang benar surat itu ada. Jadi, kebimbangan Mustafa Ali itu adalah kebimbangan yang jelas.

“Sebabnya, isu ini akan memecahkan Pas lagi. Ahli Pas kebanyakannya tertunggu-tunggu sedang melihat apa pendekatan Pas pada PRU kali ini.

“Kalau Pas pergi kepada Umno-BN, bagi saya (Pas) pecah lagi. Tapi kalau putuskan mahu kepada Pakatan juga berlaku perpecahan juga sebabnya dalam Pas ada puak yang tidak mahu lagi dengan Pakatan Harapan,” jelasnya lagi.

PAS dalam masalah besar, kata penganalisis politik

Chan Kok Leong
SELAIN daripada perpecahan dalaman yang disebabkan Amanah, PAS dijangka akan hilang banyak kerusi dalam pilihan raya akan datang kerana parti itu dilihat seperti mahu menjadi serupa seperti Umno, kata penganalisis politik dalam sebuah forum hari ini.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Faisal S Hazis berkata, dalam pemasaran politik, parti-parti akan cuba untuk membezakan diri mereka dengan menonjolkan perbezaan ideologi sesama parti lawan.

"Tetapi sejak PAS mula berbaik dengan Umno dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mereka menunjukkan yang tujuan perjuangan mereka adalah sama, iaitu Islam," kata Faisal.

Tambah beliau lagi, apabila sesebuah parti hilang sifat tersendirinya, pengundi tidak akan dapat membezakannya dengan parti lawan.

"Dan jika ia berlaku, anda akan melihat pengundi memilih parti itu, dan bukan parti lawan," katanya.

Faisal bercakap bersama Dr Johan Saravanamuttu dari Sekolah Kajian Antarabangsa Rajaratnam di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura dan Ibrahim Suffian dari Merdeka Center semasa forum “Pertandingan pelbagai penjuru - bencana atau rahmat" di Kuala Lumpur, hari ini.

Hilang pengaruh

Satu lagi sebab ialah kerana PAS kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu.

"Ikut sejarah, apabila PAS keluar dari mana-mana pakatan, tak kiralah Barisan Nasional (BN) pada 1970-an atau Barisan Alternatif pada 1990-an, ia memberi keputusan yang buruk semasa pilihan raya," kata Johan.

Menggunakan analisis terbaru Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming iaitu "Battle for Selangor" sebagai contoh, Johan berkata PAS hanya memperoleh keputusan yang baik di Selangor apabila ia masih dalam pakatan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), PAS menang 15 daripada 20 kerusi negeri yang ia bertanding dan lapan daripada 20 kerusi pada PRU12 (2008). Tetapi, pada 2004, parti itu tidak memenangi walau satu kerusi dalam 21 kerusi yang ia bertanding.

Semasa PAS bersama Barisan Alternatif pada 1999, PAS menang empat daripada 23 kerusi. Namun, pada 1990 dan 1995, ketika ia bertanding sendirian, PAS hilang semua kerusi negeri yang ia bertanding di Selangor.

Faisal berkata perpecahan undi Melayu seterusnya yang disebabkan oleh Amanah dan Bersatu memberi kesan yang lebih buruk kepada PAS.

Menggunakan kerusi parlimen Hulu Langat dan Temerloh sebagai contoh, Faisal berkata penyandang kerusi itu, Che Rosli Che Mat dan Nasrudin Hassan mungkin akan hilang kerusi mereka disebabkan bilangan pengundi bukan Melayu yang tinggi.

Mengikut data PRU13, Hulu Langat mempunyai 45.59% pengundi bukan Melayu, manakala Temerloh mempunyai 33.67% pengundi.