"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penyatuan PAS-Umno hasil usaha senyap saya dan Hadi - Najib

Bekas presiden Umno Najib Razak semalam memberitahu ahli PAS bahawa 'penyatuan' dua parti yang sebelum ini merupakan seteru adalah hasil dari "usaha senyap-senyap" olehnya dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Jelas Najib usaha itu bermula ketika perbincangan isu Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) dan perkara-perkara lain ketika beliau masih menjadi presiden Umno dan juga perdana menteri.

"Ada dua hikmah kekalahan kita (dalam pilihan raya umum ke-14).

"Satu, mereka (rakyat) boleh banding zaman BN dengan zaman PH hari ini?

"Yang kedua, lahirnya penyatuan ummah gabungan antara PAS dan Umno," katanya yang disambut tepukan dan sorakan gemuruh hadirin.

"Sebab saya telah usahakan senyap-senyap perkara ini selama ini dengan Tok Guru Hadi (Abdul Hadi) waktu malam dia datang bincang RUU355 dan perkara-perakra bersangkut paut kepentingan umat Islam.

"Hari ini saya rasa begitu bersyukur apa saya telah mulakan, berputik zaman saya, hari ini telah menjadi realiti," tambah ahli parlimen Pekan itu.

Najib berkata demikian di Ceramah Perdana Perpaduan Ummah yang merupakan acara pertama pemimpin Umno berkongsi pentas dengan PAS dengan tema 'perpaduan ummah'.
Acara itu turut menyaksikan beberapa pemimpin PAS dan Umno lain berkongsi pentas, termasuk Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Mahdzir Khalid, selain pemimpin tempatan kedua-dua parti.

Mengulas lanjut, Najib berkata PAS dan Umno boleh menang dalam pilihan raya umum seterusnya sekiranya kerjasama PAS dan Umno diteruskan.

"Kalau ini kita pertahankan sebagai formula terbaik, insya-Allah PRU ke-15 milik Umno dan PAS.

"Tak boleh lari tuan-tuan, kita dah buat perkiraan, tak boleh lari. Sebab itu dia (PH) kata kita macam-macam. Pedulikan depa," katanya.

Anwar ada lagi 'rahsia' PAS

N Faizal Ghazali

Presiden PKR memberi gambaran bahawa beliau akan terus membongkar "penipuan" yang dilakukan pemimpin PAS selepas isu pembayaran wang RM1.4 juta kepada pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan dibuat secara perlahan-lahan.

"Tunggu masa, saya bongkar cerita sikit-sikit, koho-koho (perlahan-lahan). Tak boleh deras (cepat) semua sekali.

"Jadi saya terangkan masalah kes ini dulu," katanya ketika berceramah pada program Bicara Perdana di Tanah Merah, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulangi isu pendedahan penyelesaian saman Presiden PAS Abdul Hadi Awang terhadap Clare di Mahkamah Tinggi London, baru-baru ini.

Pada Februari lalu, Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson mendedahkan Abdul Hadi membayar RM1.4 juta itu kepada Clare, malah perkara itu disusuli dengan pendedahkan Clare yang mengesahkan penerimaan bayaran tersebut.

Bagaimanapun PAS, menafikan perkara itu.

Sementara itu Anwar menegaskan betapa beliau hairan melihat pemimpin PAS yang mengetahui perkara berkenaan tetapi tetap memberi penjelasan yang sebaliknya.

Katanya, beliau membuat pendedahan itu kerana mempunyai fakta dan bukannya memfitnah.

Katanya beliau melihat sendiri salinan dokumen serta cek bayaran tersebut.

"Apa makna semua ini? Antara kenyataan dan ucapan tok-tok guru PAS ini - saya tak salahkan orang yang tak tahu - tapi yang saya pelik pemimpin yang tahu masih sanggup menjelaskan begini.

"Padahal mereka tahu. Bagaimana kita nak orang hormat pada kita? Bila orang tengok kita ada akhlak, bila bercakap, benar," tegasnya.

Tambah Anwar penjelas beliau itu sebagai contoh bahawa bukan bermakna sebuah parti yang menggunakan nama Islam semuanya akan bercakap benar.

"Ini pertarungan politik. Parti ini dulu mula-mula musuh DAP, bila dalam Pakatan Rakat dia juga turun kempen untuk DAP.

"Sekarang dia cakap pula salah DAP. Dulu kita tahu sikap PAS pada Umno, sekarang nak baik. Dia nak baik dengan Umno tak apa, berbaiklah.

"Tapi nak baik dengan Umno ini, terus kita jadi separuh kafir. Jadi agama ini boleh main ikut selera urusan politik. Ini yang saya tak setuju," jelasnya.

Ceramah berunsur hasutan, PDRM digesa siasat Naib Ketua Umno Pokok Sena

AKMAL MANAF
Ramli menunjukkan laporan polis yang telah dibuat di IPD Dang Wangi, hari ini.
Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN) menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menyiasat Naib Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Kedah, Noran Zamini Jamaludin.

Gesaan itu disuarakan GMPN kerana mendakwa, ceramah oleh Naib Ketua Umno Pokok Sena itu mengandungi unsur hasutan yang berpotensi menjejaskan keharmonian kaum.

Presiden GMPN, Mejar Razali Zakaria berkata, 80 peratus intipati dalam ceramah yang diadakan di Melaka pada 14 April lalu, adalah tipu.

“Dalam audio itu, Noran menuduh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Timbalannya, Liew Chin Tong sebagai parti komunis.

“Noran juga ada menghasut dan menakutkan orang Melayu yang tidak bersama Pakatan Harapan (PH), dengan menyatakan insiden pembunuhan beramai-ramai seperti di Rohingya akan berlaku.

“Dalam ceramah itu, mereka turut mengatakan ada pembunuhan dan ancaman kepada orang Melayu Islam jika parti DAP memerintah negara ini.

“Itu semua adalah satu bentuk hasutan dan fitnah politik.. ianya tidak benar sama sekali,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas membuat laporan polis berhubung ceramah hasutan itu.

Turut hadir, Penasihat Utama GMPN, Ramli Kamarudin dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Orang-Orang Miskin Se Malaysia, Mohd Solleh Ibrahim.

Dalam ceramah itu, Razali mendakwa, niat sebenarnya Noran adalah untuk menghasut orang ramai supaya tidak menyokong kerajaan sedia ada.

“Jadi kami menggesa pihak PDRM menyiasat Noran Zamini supaya tindakan boleh diambil dan menjadi pengajaran kepada penceramah yang lain,” katanya lagi.