"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lokman Adam ditahan

FAZLI RADZI

Datuk Lokman Noor Adam yang sebelum ini telah dibuang daripada menjadi ahli Umno ditahan pihak polis sebentar tadi.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tersebut memberitahu hal itu dalam hantaran di Facebook rasminya malam ini.

Orang kanan Datuk Seri Najib Razak berkenaan kini ditahan di Kompleks Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.

“Mohon hantar peguam ke JSJT Bukit Aman, jumpa IO Insp Nasir 013-7736 813. Saya ditahan di bawah Seksyen 506,” katanya.

Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Lokman sebelum ini dilihat lantang menyerang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kelmarin, dia menerusi Facebook Live hampir 15 minit mendakwa Muhyiddin dan penyokong pelaksanaan darurat masih tidak berpuas hati dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan darurat.

Mencabar

Pada 28 Oktober lalu pula, Lokman beberapa kali mencabar Muhyiddin supaya menangkap Anwar Ibrahim dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Belajarlah bertaubat, menjalani hubungan silaturahim yang kau (Muhyiddin) dah pecahkan dengan orang Umno ini.

“Bukan dengan cara mengugut macam ini. Kena ingat Muhyiddin, kau ingat kau tangkap Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi, Najib, kau ingat kita orang lepas ini akan duduk diam ke?

“Cuba buat, cuba buat, kalau kau nak tengok apa berlaku. Negara ini ada undang-undang. Jangan jadikan negara ini mengamalkan undang-undang rimba.

“Saya tahu malam tadi geng-geng Publika Azmin Ali pun ada semalam (27 Oktober) bersama Hamzah. Sudah bercadang hendak menangkap Anwar Ibrahim dan selepas itu Datuk Zahid (Hamidi).

“Cuba buat. Saya cabar. Kita tengok apa berlaku,” tegas Lokman sebelum mengakhiri Facebook Live.

Terbaharu sejam lalu, Lokman juga menerusi Facebook Live mendakwa setiap Ahli Parlimen bakal disogok peruntukan berjumlah RM3 juta jika Belanjawan 2021 diluluskan.

“Biar betul?” soalnya.

Penentang Jawi dapat gelaran Datuk, tahniah macai, walaun

Ketua Pemuda MCA kini bergelar Datuk

FAZLI RADZI

Ketua Pemuda MCA Kebangsaan yang menentang pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular jika dilaksanakan secara paksaan dan dijadikan subjek utama dengan memasukkannya ke dalam silibus subjek telah bergelar Datuk semalam.

Datuk Nicole Wong Siaw Ting dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk dalam Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Seri Negeri.

Semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), Nicole dilihat lantang menolak pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular dengan menegaskan pembelajaran tulisan Jawi harus dilaksanakan hanya secara sukarela sebagai salah satu cabang seni di sekolah.

Pada Ogos tahun lalu, jemaah menteri ketika itu memutuskan pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) diteruskan mulai tahun depan.

Kementerian Pendidikan melalui kenyataan, memaklumkan pelaksanaannya bagaimanapun hanya dilakukan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid SJK, manakala di Sekolah Kebangsaan akan diteruskan seperti biasa.

Istiadat penganugerahan sempena sambutan Hari Lahir Ke-71 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam semalam juga menyaksikan dua pemimpin Umno bergelar ‘Datuk Seri’.

Mereka ialah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Mengapa rakyat perlukan Anwar segera jadi PM?

NORMAN RADZUAN

Rakyat menghadapi saat genting hidup dan mati. Muhyiddin pentingkan Kabinetnya dari rakyat.

Keengganan Muhyiddin mendengar rayuan rakyat, jelas memperlihatkan Muhyiddin sanggup menggadaikan berbillion wang rakyat demi membentuk kerajaannya, meletakkan Ahli Parlimen dengan jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) demi menjaga kedudukan dirinya.

Muhyiddin hanya sanggup mendengar nasihat seorang rakyat Malaysia, Azmin demi survival politiknya daripada survival rakyat.

Wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya kerajaan boleh gunakan (pinjaman ) walaupun ia milik rakyat untuk menanggung tujuan politik berkepentingan peribadi.

Hingga semalam sudah empat orang rakan Facebook tidak termasuk rakan-rakan lama yang ingin meminjam wang.

Kita sama-sama susah. Mereka meminta bantuan untuk meneruskan kehidupan. Apabila orang meminta bantuan bermakna mereka sudah tiada perasaan segan demi survival. Sebab itu saya perumpamakan ia antara hidup dan mati.

Itu yang dalam pengetahuan saya tetapi bagaimana ribuan lagi menghadapi saat genting ini? Mereka saat ini sedang bertarung apakah yang boleh diberi makan minum untuk keluarga dan seterusnya menjadi papa kedana.

Kita ingin bertanya Muhyiddin mengapa dia sanggup membentuk kerajaan begitu besar dan mengarut dengan kos beratus juta ringgit dengan menggunakan wang rakyat.

Memecah satu kementerian menjadi tiga, melantik dua Timbalan Menteri dalam satu Kementerian dan mencipta Menteri Duta Khas untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai PM.

Apa salahnya rakyat mahu mengeluarkan 20 peratus dari simpanan mereka sendiri untuk meneruskan kehidupan atau membina perniagaan baru selepas dibuang kerja?

Mereka mahu memohon pekerjaan tetapi bagaimana sedangkan syarikat-syarikat di seluruh negara sedang membuang pekerja. Mereka mahu berniaga tetapi tiada modal berbuat demikian.

Mahu meminjam sedankan rakan dan sanak saudara juga dibuang kerja. Bantuan kerajaan rasanya 50 peratus ditolak dan nilainya diberi kepada rakyat hanya cukup untuk perbelanjaan seminggu dua.

Pandemik yang menimbulkan panik hingga lumpuh ekonomi dunia datang tanpa disangka. Ia bukan berlaku setiap tahun. Rakyat bukan sahaja panik dari dihidapi Covid-19 tetapi panik bagaimana untuk meneruskan kehidupan.

Sebab itulah mengapa kita perlukan Anwar Ibrahim segera menjadi PM. Kita perlu pemimpin yang mendengar nadi rakyat. Saya yakin Anwar juga akan senada Najib akan membenarkan wang KWSP dikeluarkan.

Sama ada RM10,000 seperti dikatakan oleh Najib atau 20 peratus seperti saranan saya ia sangat diperlukan oleh rakyat.

Apa yang kita harapkan daripada Muhyiddin? Muhyiddin sanggup membunuh ekonomi rakyat untuk mengadakan darurat hanya demi kepentingan dirinya terus kekal menjadi PM. Rakyat patut disedarkan penipuan Muhyiddin ini!

Jika pemimpin Pakatan Harapan (PH) bijak, penyokong-penyokong PH bijak, isu ini patut dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Ia bukan sekadar isu bola tanggung tetapi ia adalah isu popular yang boleh membangkitkan semangat dan kesedaran rakyat siapa dia Muhyiddin dan mengapa kita perlukan Anwar dengan kadar segera.

Mari kita seluruh rakyat bersama-sama membantu rakyat berkempen untuk mendapatkan hak simpanan peribadi sendiri ini untuk kita sama-sama dapat membantu rakyat yang menempuh saat-saat paling kritikal ketika ini.

Ini masa terbaik kita berkempen untuk ahli Parlimen bersama rakyat melawan kerajaan Muhyiddin yang hanya memikirkan nasib diri dan Kabinetnya di Parlimen nanti.

Inilah isu dan masa tepat untuk Ahli Parlimen menggagalkan belanjawan Muhyiddin yang pentingkan diri sendiri daripada membela nasib rakyat.