"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja buat senarai 'pembunuhan' rakan sekolah

Agensi
Belgrade: Seorang remaja yang membunuh lapan rakan dan seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Serbia merancang serangan itu selama berminggu-minggu dan mempunyai 'senarai pembunuhan', menurut polis.
Remaja berusia 13 tahun itu ditahan berikutan serangan pada Rabu di sekolah rendah Vladislav Ribnikar di Belgrade.

Polis berkata, suspek merancang serangan itu sebulan lebih awal dan dia membawa 'senarai keutamaan' remaja untuk disasarkan dan bilik darjah mana yang dia akan masuk dahulu.

Empat daripada mereka yang cedera, tiga lelaki dan seorang lagi perempuan, stabil dan sedar pada Rabu.

Seorang guru yang cedera dalam serangan itu juga dilaporkan menjalani pembedahan dan pihak berkuasa pada Selasa mendakwa nyawa guru itu terancam.

Kebanyakan mangsa dilahirkan pada 2009 bermakna mereka berusia sama ada 13 atau 14 pada ketika kejadian.

Daripada mereka yang terbunuh, tujuh daripada mangsa membabitkan pelajar perempuan di sekolah itu, tetapi motif serangan masih tidak jelas.

Enam lagi pelajar membabitkan empat lelaki dan dua perempuan, selain seorang guru cedera dalam kejadian tembakan itu,

Remaja itu didakwa menggunakan senjata api milik bapanya yang mempunyai permit senjata sah.

Difahamkan, remaja terbabit dikatakan ada pergi ke padang tembak lebih daripada sekali bersama bapanya sebelum pembunuhan itu.

BBC melaporkan, bapa dan ibu remaja itu juga ditahan bagi membantu pihak berkuasa menyiasat kes itu.

Dalam ucapan di televisyen kepada negara itu, Presiden Aleksandar Vucic menyifatkan serangan itu sebagai "hari paling sukar dalam sejarah moden negara ini."

Katanya, suspek akan dihantar ke klinik psikiatri. Di bawah undang-undang Serbia, remaja itu tidak boleh bertanggungjawab secara jenayah kerana berusia di bawah 14 tahun.
-hmetro 

Tak perlu PSI jika Putrajaya biaya semua kos LRT P Pinang, kata pakar

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Seorang pakar pengangkutan menggesa Putrajaya membatalkan projek kontroversi Pulau Pinang Selatan (PSI) selepas ia merancang membiayai sistem transit aliran ringan (LRT) negeri.

Pada mulanya, hasil daripada projek PSI dijangka untuk membantu membiayai projek LRT di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, tetapi ia tidak lagi diperlukan selepas campur tangan kerajaan persekutuan.

Perunding pengangkutan, Rosli Azad Khan berkata “tiada justifikasi untuk PSI diteruskan” jika ia tidak lagi diperlukan untuk membiayai projek rel.

“Tidak adil kepada nelayan, jika mata pencarian mereka dirampas, sedangkan kerajaan kini membayar untuk infrastruktur LRT,” katanya kepada FMT.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook sebelum ini memberitahu FMT, projek itu akan “dilaksanakan sepenuhnya” oleh Putrajaya. Sebelum ini, projek LRT Pulau Pinang dilaporkan akan menelan kos anggaran RM10 bilion.

Rosli berkata, kaedah pembiayaan terbaik untuk projek LRT adalah mudah, pembiayaan kerajaan melalui tender terbuka.

“Perkongsian awam-swasta (PPP) akan menjadi terlalu mahal,” katanya.

Bekas pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Wan Agyl Wan Hassan memuji keputusan kerajaan itu.

“Projek pengangkutan awam adalah kunci untuk memberi orang ramai lebih banyak cara bergerak dan terus berhubung.

“Untuk menjayakan projek seperti ini, pegawai persekutuan dan negeri perlu bekerjasama dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memuji kestabilan PPP sebagai model pembiayaan kerana ia “mengimbangi risiko dan ganjaran untuk sektor awam dan swasta”.

Projek pengangkutan awam biasanya dijalankan Putrajaya kerana ia berada di bawah bidang kuasanya. Bagaimanapun, kekurangan dana daripada kerajaan persekutuan sebelum ini memaksa Pulau Pinang mengambil jalan untuk menebus guna tanah untuk dijual kepada pemaju.

Ahli Parlimen Rantau Ranjang Siti Zailah berdepan siasatan guna air pili bomba

Malaysaikini
story-image
Ahli Parlimen Rantau Ranjang Siti Zailah Mohd Yusoff berdepan siasatan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) atas dakwaan mengambil air daripada pilih bomba.

Ia susulan hantaran di beberapa laman Facebook yang memaparkan dia aktif mengusahakan bekalan air bersih bagi kegunaan penduduk di parlimen itu sejak April lalu.

Ini termasuk gambar yang dimuat naik menunjukkan sebuah lori sedang mengambil air daripada pili bomba sambil diperhatikan oleh Siti Zailah.

"Ya Allah permudahkan segala urusan kami. Di musim banjir kami berdepan dengan cabaran banjir, sekarang pula berdepan dengan cabaran kemarau," katanya sebagai kapsyen hantaran tersebut.
Selain itu beberapa keping gambar memaparkan aktiviti pengambilan air daripada pili bomba turut tular di media sosial sejak seminggu lalu.

Sementara itu Bernama melaporkan KPKT akan melakukan siasatan terperinci mengenai dakwaan berkenaan.

Menterinya Nga Kor Ming berkata tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap ahli Parlimen tersebut kerana ia merupakan perkara yang tidak bertanggung jawab.

"Sumber air dari pili bomba digunakan bagi memadam kebakaran bukan digunakan sebagai bekalan air untuk kegunaan seharian.

"Jika semua orang pakai air pili bomba, jika berlaku kebakaran macam mana? Ini sebenarnya tidak patut berlaku," katanya dipetik sebagai berkata.