"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Patriot bidas cadangan PN guna logo, tema Hari Kebangsaan berbeza

FMT Reporters
PETALING JAYA: Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) membidas “pendirian antikerajaan” oleh empat negeri pimpinan Perikatan Nasional (PN) berhubung cadangan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza.

Presidennya, Brigedier Jeneral bersara Arshad Raji berkata, kumpulan veteran itu memandang serius laporan berhubung cadangan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu menggunakan logo serta tema berbeza sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

“Cadangan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari atas penggunaan tema dan logo berbeza bagi sambutan Hari Kebangsaan di empat negeri ditadbir PN dilihat sebagai mengkhianati prinsip federalisme yang diamalkan di negara ini.

“Patriot membidas pendirian antikerajaan sedemikian,” katanya dalam kenyataan.

“Bagi parti politik pembangkang mencadangkan logo dan tema yang sepatutnya datang daripada kerajaan perpaduan semasa bukan saja angkuh, tetapi menanam sentimen antikerajaan di negara ini.”

Sebagai “pembela negara”, katanya, ahli Patriot mengambil serius perbuatan dan niat pembangkang itu kerana ia menghantar “isyarat sangat berbahaya dan menetapkan duluan implosif”.

Beliau menggesa pemimpin PAS dan Bersatu bersuara terhadap “trend berbahaya” itu yang dicadangkan gabungan mereka.

“Tidak pernah wujud pendirian sedemikian dalam sejarah kenegaraan kita sejak mencapai kemerdekaan pada 1957. Kenapa sekarang?” soalnya.

Arshad mengulas laporan memetik Fadhli, yang juga ketua Pemuda PAS, sebagai berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu mungkin menggunakan tema dan logo berbeza bagi sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri.

Baru-baru ini, Putrajaya mengumumkan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sebagai tema Hari Kebangsaan ke-66.

Arshad berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan drastik terhadap perbuatan dan niat berbahaya PN.

Katanya, raja-raja Melayu tidak akan membenarkan pengkhianatan terhadap federalisme yang dipelihara selama beberapa dekad.

Apakah lawan PAS bermaksud musuhi Islam?

Ramai mempertikaikan gambaran menentang PAS bermaksud melawan Islam seperti cuba dimaksudkan menerusi ucapan Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud.

Mohsin Abdullah

“Terima kasih banyak kepada rakyat Kelate (Kelantan). Mu beri sokongan kepada perjuangan Islam. Alhamdulillah. Orang muda bersemangat, orang tua hok sokmo (sepanjang masa) sokong perjuangan Islam.

“Alhamdulillah sehingga tinggal dua kerusi. Takpolah kena ada jugok, takut orang nak tengok lagu mana hok lawan perjuangan Islam ni. Jadi rakyat boleh tunjuk hok dua tu.”

Itu sedutan ceramah Nassuruddin Daud, menteri besar Kelantan yang baharu. Video ceramah itu sudah tular. “Hok dua” yang dimaksudkannya adalah Adun Galas Mohd Syahbuddin Hashim (BN) dan Adun Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim (Amanah).

Baki 43 kerusi DUN Kelantan dimenangi PAS pada PRN 12 Ogos lalu. Maka terima kasih kepada rakyat Kelantan diucapkan Nassuruddin seperti yang terkandung dalam video ceramahnya itu.

Tetapi apabila beliau berkata “orang nak tengok lagu mana hok lawan perjuangan Islam ini jadi rakyat boleh tunjuk hok dua tu”, ramai yang mendakwa menteri besar Kelantan “menuduh” dua Adun pembangkang sebagai “melawan perjuangan Islam”.

“Lawan PAS sama dengan lawan perjuangan Islam”. Itu sifir mudah menteri besar Kelantan dan ramai penyokong PAS, kata Arif Atan yang pernah menjadi wartawan Harakah, lidah rasmi PAS.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Arif berkata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada membincangkan panjang lebar mengenai ciri pelampau agama. Dalam konteks ucapan Nassuruddin, kata Arif “jelas MB Kelantan yang juga digelar Panglima Perang itu menyamakan politik kepartian dengan akidah”.

Tetapi seorang yang mengikuti Facebook Arif mengulas: “Betullah PAS mengangkat Islam, kalau menentang PAS bererti menentang dari mengangkat ugama Islam”. Arif pula membalas begini: “Kena
betulkan pemikiran ini, PAS hanya sebuah parti politik sama macam parti politik lain yang tujuannya mahu kuasa. PAS bukan institusi macam pejabat mufti yang umat perlu patuhi”.

Beralih kepada satu lagi hantaran Facebook. Kali ini sajian pensyarah Universiti Malaysia Terengganu Yusri Ibrahim. Selaku ahli akademik beliau bercakap mengenai “budak-budak isi borang untuk pilih universiti yang sesuai dengan citarasa mereka, yang ada kriteria terbaik pada pertimbangan mereka”.

Beliau seterusnya menyenaraikan beberapa universiti yang boleh dipilih bakal siswa siswi. Namun kata beliau “jika mereka tidak pilih Universiti Islam Antarabangsa Malaysia tidak bermakna mereka lawan perjuangan Islam, tidak sama sekali”. Lantas berkata: “jangan main tuduh-tuduh lawan islam dan sebagainya hanya kerana tidak memilih produk berlabel Islam, anasir begitu tidak baik untuk keharmonian masyarakat”.

Terpulang kepada pembaca membuat interpretasi berhubung apa dan maksudnya itu. Ada seorang pengikut Facebook Yusri menyahut: “Saya pun pilih Maybank sebagai tempat simpan duit. Nasib baik Bank Islam tak tuduh saya macam-macam.” Itu sinis pada hemat saya.

Apa pun artikel saya semalam ialah mengenai sama ada masanya sudah tiba untuk Malaysia mewajibkan mengundi pada pilihan raya. Tetapi berpandu pandangan para agamawan mengundi sememangnya wajib buat umat Islam untuk memilih kerajaan. Kata mereka mengundi wajib kerana untuk memastikan Islam diangkat.

Pandangan itu tentulah berdasarkan tuntutan agama. Cuma yang saya gusar ialah ada pihak tertentu akan atau boleh menggunakan hujah agamawan sebagai “endorsement” untuk mereka. Boleh dijadikan bahan kempen kerana mereka mengaku dan mendakwa merekalah konon orangnya yang mengangkat Islam dan sebagainya.

Lalu kembali kepada dakwaan lawan PAS maknanya lawan perjuangan Islam. Pemikiran yang menurut Arif mesti diperbetulkan. Saya setuju. Lalu siapa yang mesti memperbetulkan keadaan? Segala macam dakwaan?.

Bagi saya agamawan. Mereka yang sebenarnya neutral, tidak memihak dan tidak partisan yakni tidak ada kecenderungan terhadap mana mana parti politik. Ringkasnya agamawan yang dihormati, diyakini dan dipercayai masyarakat.

Agamawan yang benar benar agamawan.

Sultan Perak titah persembah isu 3R terus ke pengetahuan baginda

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menitahkan perkara menyentuh agama, raja, dan kaum (3R) yang disensasikan hendaklah segera dipersembahkan ke pengetahuan baginda.

Baginda menyatakan kebimbangan bahawa kestabilan negara dan usaha pembangunan akan terjejas jika isu menyentuh 3R dibiarkan berlarutan, semakin disensasi dan dipolitikkan.

“Jika berlaku hendaklah segera dipersembahkan ke pengetahuan beta dan mendapatkan nasihat beta jika perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan badan perundangan,” titahnya menurut Bernama ketika Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-172 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Sultan Nazrin bertitah, usaha menghindarkan perkara itu daripada berlarutan wajib dirintis dengan langkah tegas untuk pembendungan.

Titah Sultan Perak, Ahli-ahli Dewan Negara dan Orang Besar Jajahan (OBJ) hendaklah berperanan proaktif membantu usaha preventif dan membendungnya.

Ini termasuk dengan mendampingi jawatankuasa dan pegawai masjid, selain sering mengadakan pertemuan dan perbincangan dalam jajahan masing-masing untuk berusaha ke arah menyatupadukan rakyat.

Sementara itu, Sultan Nazrin berkata sekolah berperanan penting untuk menyemaikan semangat perpaduan serta kesetiaan kepada raja dan negara.

“Pada malam ini, beta dan Raja Permaisuri, Raja Muda dan Raja Dihilir akan berangkat bercemar duli ke acara kemuncak Program Menyemai Semangat Kesetiaan kepada Raja dan Negara di bawah kelolaan bersama Dewan Negara Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri dengan pembiayaan dan sokongan kerajaan beta.

“Program tersebut mendapat sambutan baik daripada para pelajar.

“Orang-Orang Besar Jajahan juga hendaklah mendampingi diri dengan warga pendidik dan memberi masa menghadiri program-program kokurikulum di sekolah-sekolah, membantu usaha-usaha menyemaikan semangat kesetiaan kepada raja dan negara, di samping membantu usaha-usaha memupuk perpaduan kaum,” titah baginda.