"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

19 maut dipanah petir

Bernama-Xinhua

New Delhi: Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan tujuh lagi cedera akibat dipanah petir di negeri Bihar, timur India, kata penyiar milik kerajaan All India Radio pada Sabtu, lapor Xinhua.

Hujan lebat dan ribut petir disertai panahan petir melanda negeri itu dalam tempoh 24 jam yang lepas, menjejaskan 10 daerah.

Laporan menyebut kebanyakan mangsa terkorban apabila petir menyambar mereka yang sedang bekerja di ladang dan berlindung di bawah pokok semasa hujan.

Jabatan Meteorologi India telah mengeluarkan amaran kuning untuk 24 jam akan datang, meramalkan hujan lebat disertai guruh dan petir di bahagian utara, tenggara dan selatan-tengah Bihar.

Setiap tahun dengan bermulanya musim monsun, ratusan orang mati akibat insiden panahan petir di India.

Hassan Karim: Najib kalah kerana GST, PH dengan penyasaran subsidi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat PKR percaya Pakatan Harapan kalah pada PRK Sungai Bakap kerana isu ekonomi, terutamanya berkait penyasaran subsidi diesel.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, berkata penyasaran subsidi diesel tidak popular dalam kalangan rakyat, walaupun dasar itu betul dan bertanggungjawab dari sudut ekonomi.

“Najib Razak perdana menteri ke-6 kalah dalam PRU14 kerana isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan 1MDB. Kali ini di Sungai Bakap PKR dan PH mewakili kerajaan perpaduan kalah dengan isu pelaksanaan subsidi bersasar diesel,” katanya di Facebook.

Hassan berkata penerimaan rakyat di Sungai Bakap dalam isu diesel tersebut sangat merugikan calon PH, Joohari Ariffin, “seorang calon yang bersih, berintegriti, dengan kelulusan yang tinggi, dan layak menjadi wakil rakyat yang baik”.

“Rakyat marah kerana kenaikan harga diesel menyebabkan kenaikan harga barangan yang lain menjadikan kos sara hidup semakin tinggi,” katanya.

Di sebalik naratif yang kerajaan uar-uarkan, Hassan berkata sebahagian besar rakyat akan menyokong PH dan kerajaan apabila mereka boleh ‘melihat’ harga barang yang berpatutan, serta ‘merasai’ kos hidup seharian semakin ringan.

“Apabila inflasi menurun, gaji pekerja bertambah naik, maka ketika itu mungkin sebahagian besar rakyat khususnya golongan B40 dan M40 akan mengambil sikap lebih mesra dan memihak kepada PKR, PH, kerajaan perpaduan dan kerajaan madani,” katanya.

Menceritakan pengalaman berkempen di Sungai Bakap, Hassan mendedahkan bahawa sambutan ceramah umum di Sungai Buaya adalah dingin.

“Kami berceramah di hadapan penyokong sendiri dari PH terutamanya anggota PKR. Hampir semuanya orang luar bukan penduduk tempatan,” katanya.

“Saya cuba menyokong calon PH dan menyokong kerajaan perpaduan dalam isu perlaksanaan subsidi diesel bersasar. Ceramah saya hambar. Saya lihat penyokong PH sendiri pun kelihatan defensif dalam isu subsidi diesel itu.”

Perikatan Nasional berjaya mempertahankan DUN Sungai Bakap, dengan kelebihan undi yang lebih baik.

Keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya melaporkan calon PN, Abidin Ismail, meraih 14,489 undi berbanding 10,222 undi yang diperoleh calon PH, untuk menang dengan majoriti 4,267 undi.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata terdapat pengurangan ketara dalam peratusan keluar mengundi, terutama dalam kalangan pengundi Cina, yang menyumbang kepada kekalahan PH.

Polis siasat kes pempengaruh TikTok didakwa bunuh diri akibat buli siber

Ili Aqilah

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan kes seorang pempengaruh TikTok yang didakwa mati bunuh diri selepas dibuli siber telah dirujuk kepada polis untuk siasatan.

Jelas Fahmi, walaupun mangsa sebelum ini membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), aduan itu tidak berkaitan dengan insiden buli siber yang dipercayai menyebabkan kematiannya.

“Bagaimanapun, Isu-isu seperti inilah yang menjadi sebab kenapa pihak kementerian mahupun kerajaan bersungguh-sungguh mahu meneliti atau memantau aspek kandungan di media sosial dan hubungannya dengan pengurusan platform,” kata Fahmi, seperti dilaporkan Bernama.

Awal hari ini, kejadian tragis yang meragut nyawa mangsa berusia 30 tahun itu mencetus perhatian meluas di media sosial. Pengguna mendakwa bahawa kematiannya adalah akibat gangguan tanpa henti yang dia alami selama beberapa minggu.

Mengulas lanjut mengenai kes itu, Timbalan Pengerusi Urimai David Marshel memberitahu Malaysiakini bahawa gangguan itu bermula selepas mangsa terlibat dalam perdebatan dalam talian dengan sekumpulan pempengaruh yang kemudiannya menyasarkannya.

“Malah mangsa telah ditahan sebentar, dan selepas dibebaskan, dia berdepan dengan buli siber yang berterusan, termasuk penggunaan bahasa yang menghina dan penggunaan gambar keluarganya,” jelasnya.

David mendedahkan bahawa mangsa telah menghubunginya mengenai gangguan itu, dan dia telah menasihatinya untuk tidak menggunakan media sosial buat sementara waktu.

“Namun hari ini saya menerima berita kematian beliau

"Kes kematian akibat siber buli di Malaysia bukan pekara baru dan kami telah menyeru kerajaan agar satu dasar atau peraturan baru untuk mengekang agar akaun laman sosial palsu yang berleluasa di semua laman sosial khasnya di Tik Tok dan Telegram," tegas David.

Justeru, dia menyarankan kerajaan menguatkuasakan pendaftaran wajib akaun media sosial menggunakan nombor MyKad atau pasport.

"Ini supaya dapat menghindari akitviti buli mahupun fitnah yang melampau boleh dikenal pasti dan pihak berkuasa boleh mengambil tindakan sewajarnya. Di samping itu pihak mangsa boleh mengambil tindakan saman malu terhadap individu yang berbuat demikian,” katanya.

Menyuarakan sentimen yang sama, aktivis sosial Tamil Eswaran memfailkan laporan polis dan menuntut keadilan untuk mangsa.

"Kami membuat laporan untuk memastikan akauntabiliti bagi akaun (pengguna media sosial) yang bertanggungjawab dan menggesa SKMM untuk menyahaktifkan akaun palsu di platform," kata Tamil kepada Malaysiakini.

Sementara itu, bekas ahli parlimen Klang Charles Santiago menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan keluarga mangsa dan meneliti kemungkinan mengambil tindakan undang-undang.

“Saya telah menghubungi peguam yang bersedia untuk membantu. Kita tidak boleh biarkan tragedi ini berulang. Cadangan Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian, yang menjenayahkan tindakan yang menyumbang kepada bunuh diri, mesti disegerakan,” tegasnya.

Malay Mail melaporkan tahun lalu bahawa Fahmi telah menggariskan rancangan untuk mempercepatkan undang-undang menangani buli siber bagi memerangi kesannya yang semakin meningkat. Perundangan itu akan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga tahun untuk digubal.

Sementara itu, Bernama memetik Fahmi berkata dia tidak berpuas hati dengan cara platform media sosial seperti TikTok mengendalikan aduan buli siber, dan dilihat mengambil mudah perkara itu.

Dia akan bertemu semua platform media sosial pada akhir bulan ini untuk menangani pengurusan isu buli siber.

“Pertemuan itu nanti akan turut disertai MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimdia Malaysia), Jabatan Peguam Negara serta pihak berkepentingan lain untuk kita lihat dan teliti perkara ini berdasarkan aduan-aduan yang telah diterima.

“Kita mahu perubahan yang menyeluruh, mahu penyedia platform lebih bertanggungjawab dan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang yang ada di negara ini, mereka sudah meraih banyak keuntungan daripada hasil pengiklanan, jadi sekiranya ada apa-apa (aduan) mereka wajib ambil tindakan sewajarnya," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggap bunuh diri sebagai isu kesihatan awam tetapi mengatakan ia boleh dicegah dengan campur tangan yang betul.