"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahfuz Omar: Hasrat Amanah tanding 20 DUN Johor wajar

FMT Reporters

Mahfuz Omar yakin pemimpin Amanah dan Umno di Johor bersikap terbuka dan boleh diajak berunding bagi memastikan tiada pertembungan antara dua parti itu. 
PETALING JAYA: Amanah tidak menyalahkan atau mengongkong pimpinan parti itu di Johor yang menyasarkan untuk bertanding 20 kerusi DUN pada PRN akan datang hingga timbul ketegangan dengan Umno.

Naib Presidennya Mahfuz Omar menyifatkan tindakan itu wajar kerana barisan exco kerajaan negeri ketika ini tidak mencerminkan komposisi kerajaan perpaduan.

Namun, beliau yakin pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) bersikap terbuka dan boleh diajak berunding bagi memastikan tiada pertembungan antara dua parti itu.

“Itu (kemelut Amanah dan Umno di Johor) perkara biasa, bagi saya selagi belum ada satu kata putus daripada perundingan, maka sudah tentu akan ada pihak yang menuntut, akan ada pihak yang mengatakan ini hak kami dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Pemuda Amanah Perak di Ipoh, semalam, menurut Berita Harian.

Pengagihan kerusi di Johor dikatakan sedikit tegang apabila Amanah Johor tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN pada PRN akan datang.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad dipetik sebagai berkata Amanah Johor sedia untuk bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Johor, sama ada bersama dengan BN atau dengan gabungan asal PH.

Tindakan itu kerana BN tidak mahu menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri terbabit.

Kenyataan itu mengundang reaksi Pengerusi BN menggesa Amanah Johor jangan sibuk berpolitik memandangkan baki penggal DUN masih panjang.

Zahid Hamidi yang juga presiden Umno menegaskan sekarang masa untuk berkhidmat kepada rakyat.

Imigresen berjaya menahan 72 GRO dalam serbuan pusat hiburan terkemuka

Gagal lari ikut laluan tikus, 72 GRO dicekup
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
JIM menyerbu pusat hiburan terkemuka di ibu kota dan menahan 89 individu warga asing.
JIM menyerbu pusat hiburan terkemuka di ibu kota dan menahan 89 individu warga asing.
Kuala Lumpur: Helah seorang lelaki kononnya cuba mengejar individu yang mencuri telefon pintarnya ketika serbuan pihak berkuasa ke atas sebuah pusat hiburan di sini awal pagi tadi tidak menjadi selepas pemeriksaan mendapati dia sebenarnya menjadi penunjuk laluan tikus kepada gadis pelayan warga asing yang cuba melarikan.

Pusat hiburan terbabit dikesan menyediakan gadis pelayan warga asing selain terdapat beberapa kalungan bunga bernilai antara RM100 hingga RM5,000.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan menerusi Ops Gegar #KLStrikeForce dijalankan pihaknya susulan aduan diterima masyarakat awam.

Beliau berkata, maklumat orang ramai serta risikan dijalankan mendapati terdapat kegiatan tidak bermoral yang dijalankan di pusat hiburan ini selain tindakan menggajikan pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Susulan itu, operasi bermula kira-kira jam 12.45 tengah malam dijalankan membabitkan 29 pegawai Imigresen Kuala Lumpur.

"Seramai 215 individu terdiri daripada pelanggan serta pekerja premis diperiksa dalam operasi ini," katanya pada sidang media selepas tamat operasi, hari ini.

Katanya, susulan itu seramai 89 individu terdiri daripada warga asing dan tempatan berusia 23 hingga 58 tahun ditahan.

"Mereka terdiri daripada 61 wanita warga Thailand, 10 warga Vietnam dan seorang warga Laos, enam lelaki Bangladesh dan dua lelaki China manakala warga tempatan terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita.

"Tindakan diambil membabitkan kesalahan tidak mempunyai permit sah, salah guna permit, tinggal lebih masa serta dipercayai melindungi Pati," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati terdapat warga asing yang ditahan dipercayai memasuki negara ini sebagai pelancong.

"Kesalahan ketara dikesan membabitkan salah guna pas, mereka memasuki Malaysia kononnya untuk melancong namun akhirnya didapati bekerja secara tidak sah.

"Siasatan awal terhadap individu warga tempatan ini dipercayai mereka ini bekerja sebagai penjaga dan pengurus premis," katanya.

Wan Mohammed Saupee berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.

"Tindakan ke atas warga asing mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana pas tamat tempoh dan tinggal lebih masa.

"Individu tempatan yang ditahan diambil tindakan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55E akta yang sama kerana melindungi pendatang tanpa izin," katanya.

‘Badan saya diangkat pusaran angin, dihempas dalam parit’

OTHMAN YAHAYA

Seorang penduduk, Abdul Kholid Chin, 75, melihat bangsal kayu di belakang rumahnya serta bumbung rosak dalam kejadian puting beliung di Kampung Kobah, Pendang.
PENDANG – “Mujurlah parit itu tidak dalam, jika tidak pasti saya telah lemas,” kata Salim Arshad, 69, mangsa yang diterbangkan angin puting beliung di Kampung Bukit Cepat di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 petang itu, Salim berada di luar rumahnya dan sedang berbual dengan ahli keluarga apabila terdengar deruman bunyi seperti  kapal terbang sedang berlepas.

“Ketika itu langit cerah, tiada hujan dan selepas melihat puting beliung semakin menghampiri rumah, saya segera menyuruh isteri Rokiah Aziz, 64, dan anak  Muhammad Hafizuddi, 30, masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan diri.

“Tiba-tiba saya terasa badan saya diangkat pusaran angin tersebut sebelum dihempas ke dalam parit. Saya hampir lemas,” katanya semasa ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, dalam keadaan basah dan masih pening dia sempat merangkak keluar daripada parit berkenaan dan melihat bumbung rumahnya diterbangkan angin kuat.

Sementara itu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang,Lt (PA) Yuslina Yusoff berkata, sebanyak empat rumah penduduk di Kampung Kobah dan dua rumah di Kampung Bukit Cepat rosak dibadai ribut dalam kejadian puting beliung petang semalam. – KOSMO! ONLINE