FMT Reporters
Mahfuz Omar yakin pemimpin Amanah dan Umno di Johor bersikap terbuka dan boleh diajak berunding bagi memastikan tiada pertembungan antara dua parti itu.
PETALING JAYA: Amanah tidak menyalahkan atau mengongkong pimpinan parti itu di Johor yang menyasarkan untuk bertanding 20 kerusi DUN pada PRN akan datang hingga timbul ketegangan dengan Umno.
Naib Presidennya Mahfuz Omar menyifatkan tindakan itu wajar kerana barisan exco kerajaan negeri ketika ini tidak mencerminkan komposisi kerajaan perpaduan.
Namun, beliau yakin pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) bersikap terbuka dan boleh diajak berunding bagi memastikan tiada pertembungan antara dua parti itu.
“Itu (kemelut Amanah dan Umno di Johor) perkara biasa, bagi saya selagi belum ada satu kata putus daripada perundingan, maka sudah tentu akan ada pihak yang menuntut, akan ada pihak yang mengatakan ini hak kami dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Pemuda Amanah Perak di Ipoh, semalam, menurut Berita Harian.
Pengagihan kerusi di Johor dikatakan sedikit tegang apabila Amanah Johor tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN pada PRN akan datang.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad dipetik sebagai berkata Amanah Johor sedia untuk bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Johor, sama ada bersama dengan BN atau dengan gabungan asal PH.
Tindakan itu kerana BN tidak mahu menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri terbabit.
Kenyataan itu mengundang reaksi Pengerusi BN menggesa Amanah Johor jangan sibuk berpolitik memandangkan baki penggal DUN masih panjang.
Zahid Hamidi yang juga presiden Umno menegaskan sekarang masa untuk berkhidmat kepada rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan