"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami kelar isteri cuba bakar rumah mentua

FARAHWAHIDA AHMAD

TANGKAK – Seorang isteri mati dipercayai dikelar suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir di sini semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kenyataan akhbar akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Dalam kejadian tersebut, suspek yang berusia 30-an turut bertindak membuat cubaan membakar rumah ibu mentuanya di Lenga, Pagoh, Muar malam tadi selepas mengelar isterinya.

Bagaimanapun suspek berjaya diberkas pihak polis pada pukul 7 pagi tadi dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak untuk mendapatkan permohonan reman. – KOSMO! ONLINE

Ahli perniagaan cederakan wanita dengan grip pistol diberkas

NOOR HASLIZA NUSI

GEORGE TOWN – Seorang ahli perniagaan diberkas polis selepas disyaki mencederakan seorang wanita tempatan menggunakan grip pistol hingga mengalami kecederaan parah pada hidung dan mata, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, penahanan dilakukan setelah suspek berusia 41 tahun itu hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL), kira-kira pukul 9.30 pagi, hari ini.

Menurutnya, turut dirampas adalah sepucuk pistol, satu kelopok dan buku lesen memiliki senjata serta peluru.

“Polis menerima laporan daripada pengadu yang merupakan seorang wanita berumur 28 tahun mengenai kejadian berlaku pada 5.56 petang kelmarin.

“Wanita tersebut telah dicederakan oleh seorang lelaki warga tempatan (suspek) dengan menggunakan grip pistol berhampiran Jalan Kelawai, kira-kira pukul 2.20 pagi, pada hari sama.

“Punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham di atas jalan raya semasa kedua-dua pengadu dan suspek memandu melalui tempat kejadian,” katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, siasatan kes tersebut dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 Akta Senjata 1960. – KOSMO! ONLINE

Bella, 7 rakan tukar pengakuan kes ugut, pukul lelaki

FMT Reporters

PETALING JAYA: Wanita dikenali Bella dan tujuh rakan lelakinya menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas empat pertuduhan mengugut bunuh, ugutan memukul serta pemerasan terhadap seorang lelaki, April lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Bella atau nama sebenarnya Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman, 22, bersama tujuh lagi individu mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret A Shaarmini dan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Tujuh tertuduh lain adalah Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal, 25; Ahmad Rushdi Jumadi, 23; Muhammad Nur Shafiq Abdullah, 25; Muhammad Haikal Zulkarnain, 19; Mohamad Amierul Hakim Shamsuri, 23; Mohamad Danish Hakim Kamaruddin, 20; dan Syamsul Hamiziey Saiful Razali, 19.

Bagi pertuduhan pertama, semua tertuduh berkenaan termasuk Bella, bersama dua lagi yang masih bebas dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Muhammad Faris Syahmi Mohd Ridzwan, 22, bahawa mereka tidak akan berhenti memukul mangsa sehingga dia bersetuju membayar RM3,000.

Ia mendorong mangsa menyerahkan wang RM650 dan kunci motosikal Yamaha Y16 kepada tertuduh, Amierul Hakim.

Bagi pertuduhan kedua pula, tujuh individu berkenaan didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Faris, dengan seorang lagi masih bebas. Namun, Bella tidak didakwa atas pertuduhan pindaan kedua itu.

Bagi pertuduhan ketiga pula, semua tertuduh termasuk Bella serta dua lagi yang masih bebas, mengaku tidak bersalah atas dakwaan secara bersama-sama mengurung mangsa.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid pula, lapan individu berkenaan turut menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas pertuduhan keempat iaitu secara bersama-sama menakutkan secara jenayah terhadap Faris dengan ugutan hendak menyebabkan kematian.

Semua kesalahan berkenaan dilakukan mereka di sebuah pangsapuri di Plentong, Masai, Johor Bahru, antara 10 malam hingga 4 pagi, pada 18 hingga 19 April lalu.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506; Seksyen 384 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan, manakala pertuduhan keempat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam dan Nik Noraini Nik Azman, lapor Harian Metro.

Peguam Nurul Nadia Yunos mewakili tertuduh ketujuh, Syamsul Hamiziey diwakili; tertuduh kelima, Amierul Hakim diwakili T Haressh, manakala tertuduh pertama dan kedua, Aqmal dan Ahmad Rushdi pula diwakili Khairulazwad Sariman dan Syahmi Nawawi.

Bella serta Nur Shafiq; Haikal; Danish Hakim, dan Syamsul Hamiziey pula tidak diwakili peguam.

Semua tertuduh dan keempat-empat kes berkenaan juga diperintahkan untuk dibicarakan bersama, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Majistret Nur Fatin membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan 18 Julai depan untuk penyerahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh yang masih tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut memerintahkan jaminan ke atas tertuduh diteruskan dengan ketetapan prosiding terdahulu.

Pada 25 April lalu, Bella dan tujuh lelaki dilaporkan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas empat pertuduhan termasuk melakukan ugutan jenayah dengan mengeluarkan ugutan bunuh, serangan berkumpulan dan mengurung seorang lelaki secara salah, minggu sebelumnya.

Media melaporkan semua suspek ditahan kira-kira 2.30 pagi 21 April lalu, ketika cuba melarikan diri dari Pangsapuri Plentong Baru Masai, Pasir Gudang.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa klip video, memaparkan seorang pemuda longlai selepas dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki dalam sebuah rumah yang dipercayai berlaku di Pasir Gudang.