"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga Indonesia maut ditikam, lima warga senegaranya ditahan


Lima lelaki warga Indonesia ditahan bantu siasatan kematian rakan senegara

ADNAN IBRAHIM

KLUANG – Lima lelaki warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang rakan senegara berusia lingkungan 30-an yang maut dipercayai akibat tikaman di dada kiri dalam kejadian di Paloh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian itu dimaklumkan kepada pihak polis pada kira-kira pukul 9.36 pagi selepas mangsa dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom dan disahkan meninggal dunia.

“Hasil siasatan membawa kepada penahanan lima suspek warga berusia antara 21 hingga 31 tahun di sekitar Paloh kira-kira pukul 1 pagi tadi. Semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan saringan awal air kencing juga negatif dadah,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut Bahrin lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan semua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.- KOSMO! ONLINE

Minyak masak paket berlambak di Golok: Mesti ada kecurangan dikalangan penguatkuasa di sempadan

Minyak subsidi ‘ghaib’ di Malaysia, tapi berlambak di Golok

N Faizal Ghazali

Minyak masak paket bersubsidi sekilogram kini menjadi rebutan — bukan sahaja oleh pengguna tempatan, tetapi juga pembeli di seberang sempadan.

Di pasar raya dan kedai runcit sekitar Lembah Klang dan Kelantan, bekalan minyak masak paket yang dijual pada harga kawalan RM2.50 sepaket amat terhad. Pembelian pula dihadkan kepada satu atau dua paket setiap orang.

Malah, ada peniaga yang mengambil kesempatan menjualnya pada harga melebihi kadar ditetapkan kerajaan.

Tinjauan Malaysiakini di beberapa kedai serbaneka sekitar Petaling Jaya dan Puchong mendapati hanya satu atau dua kotak minyak masak bersubsidi dibekalkan seminggu — dan cepat habis dijual.

“Seminggu hanya satu atau dua kotak dibekalkan, itu pun tidak menentu.

"Kalau ada stok, dalam masa sejam saja boleh habis. Kita terpaksa hadkan pembelian supaya ramai orang dapat beli,” kata seorang jurujual dikenali sebagai Raja, 30-an.

Situasi serupa dikesan di Kota Bharu dan Machang. Di pasar raya besar, sekadar dua paket boleh dibeli dalam satu transaksi.

Namun, berbeza keadaannya di Pekan Golok, Narathiwat — hanya seberang Sungai Golok dari Rantau Panjang.

"Di situ, minyak masak bersubsidi Malaysia yang didakwa diseludup boleh diperoleh dengan mudah, tanpa had pembelian.

Harganya pula mencecah dua kali ganda berbanding harga asal, kata seorang peniaga di Golok dikenali sebagai Shakori, 40an.

“Kalau stok banyak kita jual juga sekotak dengan harga sekitar RM95 sekotak.

"Minyak paket Malaysia ini dapat sambutan masyarakat di sini kerana harganya lebih murah berbanding minyak botol sekilogram buatan Thailand,” katanya.

Shakori mendakwa dia mendapat bekalan sekitar 20 hingga 30 kotak seminggu melalui pembekal. Di Golok, setiap paket dijual sekitar RM6 hingga RM7.

Sementara itu, seorang peniaga ayam goreng di Golok yang enggan dikenali berkata dia memilih minyak masak Malaysia demi menjimatkan kos.

“Bekalan pun mudah, banyak dijual kedai-kedai kawasan ini.

"Kita guna minyak Malaysia sebab lebih murah dan tiada masalah dengan kualitinya,” katanya.

Keadaan yang menjadi rahsia umum ini menimbulkan persoalan besar tentang keberkesanan sistem pengagihan subsidi minyak masak negara — dengan lebih RM1.5 bilion dibelanjakan setahun.

Bantuan itu dilihat bocor ke luar sempadan dan tidak sampai ke golongan sasar.

Walaupun kerajaan melaporkan pelbagai usaha membanteras penyeludupan namun ketirisan terus berlaku.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pada Mei lalu memaklumkan 134 pangkalan haram di sempadan negara sudah ditutup.

Menurutnya, langkah itu melibatkan kawasan berisiko tinggi seperti Rantau Panjang-Sungai Golok.

Pun begitu, realiti di lapangan menunjukkan aktiviti penyeludupan masih berleluasa menimbulkan soalan sejauh mana keberkesanan kawalan dan komitmen membanteras ketirisan benar-benar terlaksana.

Rombakan kabinet: Tiga senario, kerajaan Madani di persimpangan

B Nantha Kumar

Peletakan jawatan dua menteri kanan PKR — Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad — menyaksikan gabungan kerajaan Madani yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini berdepan saat kritikal.

Ia antara menjaga kestabilan kabinet dan menangani dakwaan pembangkang bahawa kerajaan perpaduan semakin hilang arah serta kohesi politik.

Ketika negara masih menghadam impak peletakan jawatan itu, situasi menjadi lebih rumit apabila Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan keluar dari Umno — namun terus kekal sebagai menteri dalam kabinet Anwar.

Antara cuti dan pengunduran: Mana hala PKR?

Sumber dalaman Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang ditemui Malaysiakini menyatakan bahawa masa depan Rafizi dan Nik Nazmi masih dalam peringkat perbincangan, dengan usaha sedang dijalankan untuk memujuk kedua-dua mereka supaya terus kekal.

"Kita kena lihat semula kenyataan PMO (Pejabat Perdana Menteri). Perdana Menteri hanya meluluskan permohonan cuti Rafizi dan Nik Nazmi. Surat letak jawatan belum diluluskan. Malah, masih dalam perbincangan.

"Apa yang saya boleh pastikan, masih terdapat usaha memujuk Rafizi dan Nik Nazmi untuk kekal dalam jemaah menteri. Seperti saya kata, Rafizi dan Nik sekarang sedang bercuti.

"Maka, ada peluang untuk mereka kembali. Jika, kembali maka tiada keperluan untuk rombakan kabinet.

“Saya jangka, Disember ini akan ada rombakan kabinet secara kecil-kecilan. Maka, perdana menteri mungkin tidak minat membuat dua rombakan dalam setahun. Jadi, yang terbaik kepadanya adalah cuba mengekalkan Rafizi dan Nik Nazmi," kata sumber itu.

Namun, sumber itu mengakui kemungkinan mereka untuk terus kekal dalam barisan kabinet Madani adalah amat tipis.

Pada 28 Mei lalu, Rafizi mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan daripada kabinet susulan kegagalannya dalam mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR yang disandangnya.

Menurutnya, peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 17 Jun sehingga dia menghabiskan baki cuti tahunan pada 16 Jun.

Menyusul jejaknya, adalah Nik Nazmi yang gagal mempertahankan jawatan naib presiden pada pemilihan PKR. Katanya, peletakan jawatannya adalah pada 4 Julai ini sementara dia bercuti mulai 29 Mei hingga 3 Julai.

Rasa tidak puas hati dalaman

Namun, beberapa pemerhati politik berpendapat peletakan jawatan selepas kekalahan dalam pemilihan parti bukanlah kebetulan, sebaliknya satu isyarat ketidaksefahaman strategik dalam PKR dan rasa tidak puas hati terhadap halatuju pentadbiran.

“Kalau dua pemimpin muda yang berpengaruh dalam PKR sendiri sudah hilang kepercayaan untuk kekal dalam kabinet, itu bukan berita kecil.

“Ia isyarat dalaman,” kata seorang penganalisis yang enggan dinamakan.

Mengulas lanjut, sumber PMO itu berkata, terdapat tiga senario utama sedang dipertimbangkan oleh Anwar.

"Kemungkinan pertama seperti saya kata sebelum ini, Rafizi dan Nik Nazmi akan kekal. Yang kedua, jika Rafizi dan Nik Nazmi tetap berkeras untuk keluar, Anwar mungkin terpaksa melantik tokoh baru.

"Dalam senario ini Tengku Zafrul kekal sebagai menteri, tetapi sebagai wakil PKR. Kementerian Ekonomi mungkin akan dikecilkan skopnya dan diletakkan di bawah Kementerian Kewangan (MoF) atau Jabatan Perdana Menteri (JPM)," katanya.

Terdapat juga spekulasi bahawa kementerian ekonomi akan diserahkan kepada Umno, sebagai imbangan semula kuasa dalam kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun perlu dinyatakan bahawa tempoh jawatan senator Zafrul bakal tamat pada pertengahan Disember selepas dua penggal – had maksimum bagi seseorang senator.

Peranan teknokrat

Kedudukan Zafrul menimbulkan persoalan lebih besar tentang peranan teknokrat dalam pentadbiran gabungan. Tambahan pula, dia kini dikatakan sedang “mengintai” tempat dalam PKR dan berpotensi mendapat portfolio baru.

Kementerian Ekonomi diwujudkan pada 2018 selepas Pakatan Harapan menubuhkan kerajaan persekutuan. Pada masa itu ia dikenali sebagai Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dipegang oleh timbalan presiden PKR ketika itu Mohamed Azmin Ali .

Sebelum ini, kementerian itu adalah sebuah portfolio di bawah JPM dan agensi utama portfolio ini ialah Unit Perancang Ekonomi (EPU).

"Portfolio Nik Nazmi (sumber asli) mungkin diambil alih oleh wakil Umno bagi mengekalkan keseimbangan politik dalam kerajaan.

“Dengan itu, Umno akan kekal dengan tujuh menteri yang ada sekarang seperti yang diminta Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi," kata sumber itu.

Sebelum ini Umno mempunyai tujuh menteri, tetapi susulan tindakan Zafrul keluar parti., ia hanya tinggal enam menteri.

Justeru, desakan Zahid yang mahu tujuh kerusi itu membuka ruang tawar-menawar yang mencabar buat Anwar: sama ada memenuhi permintaan Umno, atau mempertahankan dominasi PKR dalam kabinet — yang kini jelas goyah.

Siapa bakal ganti?

Beberapa nama juga disebut -sebut sebagai pengganti Nik Nazmi.

Mereka termasuk Setiauasa Agung PKR, Fuziah Salleh; ahli Majlis Tertinggi PKR, Adam Adli; Naib Presiden PKR, R Ramanan dan Sim Tze Tzin. Namun, pertimbangannya bukan hanya tentang kelayakan teknokratik — tetapi juga sejauh mana individu tersebut mampu memberi kestabilan politik dan memperkukuh imej kerajaan yang kini tercalar.

"Terserah kepada presiden. Ada banyak calon. Setiausaha Agung (Fuziah) antara calon utama layak dilantik sebagai menteri.

"Beliau menyertai PKR pada 1999. Bermula dari akar umbi dan memegang pelbagai jawatan dalam parti sebelum dilantik sebagai setiausaha agung. Dia juga timbalan menteri KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia). Maka, dia salah seorang calon utama.

"Seperti saya kata belum ada sebarang keputusan muktamad. Ada yang sedang melobi. Ada yang buat strategik sendiri supaya boleh diangkat sebagai menteri.

"Tapi, perdana menteri hanya akan membincangkan sebarang pelantikan baru ke kabinet selepas 13 Jun ini," katanya.