"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengasas eHati, pasangan lari ke luar negara, lokasi dikenal pasti

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis mengesahkan suami isteri termasuk pengasas program motivasi rumah tangga eHati yang berdepan pendakwaan di mahkamah dipercayai melarikan diri ke luar negara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai melarikan diri sehari sebelum pertuduhan dilaksanakan.

"Masih lagi tidak ada tangkapan dibuat kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) percayai mereka sudah melarikan diri ke luar negara sebelum pertuduhan dijalankan.

"Hasil semakan awal PDRM, (suspek ke luar negara) melalui laluan sah kerana mereka bergerak lebih awal sebelum waran dikeluarkan.

"Polis percaya pada 13 Oktober (mereka melarikan diri ke luar negara) yang mana pertuduhan dilaksanakan pada 14 Oktober.

"(Suspek yang melarikan diri) Ya, dua penama yang dikeluarkan waran tangkap itu," berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pihak polis sudah mengenalpasti ke negara kedua-dua suspek melarikan diri namun tidak mendedahkannya.

"Sekarang, PDRM akan berhubung dengan rakan strategik negara terbabit untuk membantu mengesan penama yang dikeluarkan waran tangkap ke atas mereka.

"Biarlah rahsia (negara mana) ..beri peluang kepada PDRM untuk melaksanakan tugasan dan siasatan, dikhuatiri sekiranya diberitahu maka akan lebih menyukarkan proses pencarian.

"Di kawasan Asia Tenggara," katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua termasuk pengasas eHATI kini dikehendaki polis selepas waran tangkap dikeluarkan terhadap mereka selepas kedua-duanya gagal hadir sewaktu pertuduhan hendak dilaksanakan di mahkamah.

Sebelum ini, polis mendedahkan seramai 95 individu telah dipanggil keterangan berhubung penganjuran motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15 di sini, pada September tahun lalu.

Siasatan polis turut mendapati berlaku adegan bogel dalam acara Queen's Night dalam penganjuran itu melibatkan empat individu yang adalah fasilator bagi program.

Umpan ke rumah, guru silat didakwa ‘sentuh’ dua anak murid

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Tertuduh diiringi polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap dua muridnya. Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON / KOSMO!
MELAKA – Seorang guru silat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajarnya dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap salah seorang mangsa sama di atas katil rumahnya, sejak September lalu.

Tertuduh, Yusof Omar, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan di hadapan Raja Noor Adilla, tertuduh didakwa dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dengan melakukan perbuatan tidak senonoh bagi tujuan seksual.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama dan didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Kedua-dua perbuatan itu telah dilakukan tertuduh kira-kira pukul 2 petang di atas katil di sebuah rumah di Telok Mas dalam daerah Melaka Tengah, 13 September lalu.

Bagi pertuduhan di hadapan Rohatul, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi mangsa berusia 14 tahun kira-kira pukul 8 pagi di lokasi sama, 8 Oktober lalu dan didakwa di bawah AKSTK 2017.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasaruddin dan Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM70,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Pendakwaan turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa, melapor diri sekali setiap dua minggu di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Nigel Tai yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai guru silat dengan pendapatan tidak menentu, malah tidak mencecah RM1,000 pada bulan lalu, selain menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis, jantung serta masalah saraf di kaki kiri.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM24,000 dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dipohon pendakwaan. Rohatul dan Raja Noor Adilla masing-masing menetapkan tarikh 15 dan 23 Disember depan sebagai sebutan semula kes.

Kosmo! pada 5 November lalu melaporkan seorang guru silat direman tujuh hari selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun selepas mengambil mangsa di rumah keluarganya di Pulau Sebang, Alor Gajah kira-kira pukul 7 malam.

Suspek kononnya ingin mengajar mangsa berlatih di gelanggang silat di Pulau Sebang, namun telah membawa remaja itu ke rumahnya di Telok Mas dengan alasan untuk mempelajari teknik tinju sebagai persediaan menyertai ujibakat Sukan Malaysia (Sukma) di Johor.

Setibanya kira-kira pukul 11 malam, mangsa tidak diajar seperti dijanjikan, sebaliknya diarahkan tidur di bilik utama sebelum suspek masuk dan berbaring di sebelahnya sehingga pagi dan melakukan perbuatan tidak senonoh. – KOSMO! ONLINE

Mana DBKL?: ‘Siapa bagi lesen kutip RM15 kat sini?’

KOSMO!
Tangkap layar video Zhiddin bergaduh mulut dengan seorang lelaki dipercayai warga asing yang cuba mengutip bayaran parkir secara haram di Bukit Bintang.
PETALING JAYA – Seorang pempengaruh nyaris kena ‘paw’ RM15 oleh seorang lelaki dipercayai warga asing ketika hendak meletakkan kereta di tempat letak kenderaan sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Video cubaan kena ‘paw’ itu dikongsikan oleh Zhiddin Aziz pada akaun media sosialnya, namun warga asing itu tidak berjaya berbuat demikian selepas pemuda tersebut berkeras tidak mahu membayarnya.

“Siapa bagi lesen kutip RM15 kat sini? DBKL? DBKL mana bagi lesen kat warga asing. Yang biasa itu kamu. Kalau saya tak nak bayar?,” katanya memarahi lelaki berkenaan. Bagaimanapun, pengutip bayaran parkir itu cuba menakut-nakutkan Zhiddin yang mana jika bayaran tidak dijelaskan, berkemungkinan keretanya akan dipecahkan.

“Kalau pecah kereta aku, aku tahu nak pecah muka siapa. Aku kenal muka kau. Tak payah jaga, Allah jaga kereta. Cari kerja betul-betul lah. Saya tak bayar parking,” katanya.

Dalam pada itu, Zhiddin berpesan kepada orang ramai supaya tidak sesekali memberikan wang kepada mereka yang mengutip bayaran secara haram di kawasan Bukit Bintang.

“Parking di kawasan Bukit Bintang ini kalau ada yang menagih bayaran, jangan dihulur tangan. Jangan layan, jangan biar kerakusan berpesan. Andai dibiar, bermaharajalela tanpa sempadan,” katanya.

Di ruangan komen pula, orang ramai berkongsi kemarahan selain pernah terkena ‘paw’ dengan pengutip bayaran parkir secara haram di kawasan itu.

“Sumpah saya baru kena semalam. Saya kena RM20 dekat belakang Bukit Bintang dan warga asing juga,” komen Aliffarhan00 pada Instagram.

“Mesti ada tauke yang jaga dia orang. Tak ada tindakan ke kat dia orang ni. Itu yang jadi tanda tanya,” kata pengguna Instagram Sarifudin Khamis.

“Main petik DBKL. Dia tahu ke apa maksud DBKL tu apa,” komen StaceyMJ pada TikTok.

“Aku kena RM30 kat Bukit Bintang,” komen seorang lagi pengguna TikTok. – KOSMO! ONLINE