"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengantin ditahan, cederakan polis di majlis kahwin

Bernama
Pengantin lelaki itu bertindak membaling gelas ke arah pegawai polis yang cuba menahan rakannya di majlis perkahwinan.

Rozi-JidinALOR SETAR: Seorang lelaki yang baharu melangsungkan perkahwinan ditahan polis selepas cuba menghalang dan mencederakan seorang pegawai polis yang mahu menahan seorang lelaki berumur 38 tahun ketika majlis perkahwinan di sebuah hotel malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata dalam kejadian pukul 10 malam itu, pengantin lelaki berumur 35 tahun itu bertindak membaling gelas ke arah pegawai polis berusia 30-an yang ketika itu sedang menjalankan tugas “Ops Cantas” bagi menahan rakan pengantin itu di hotel terbabit.

“Semasa hendak melakukan tangkapan, pegawai polis itu telah menunjukkan kad kuasanya namun sekumpulan seramai 30 hingga 40 lelaki menghalang beberapa anggota polis lain dengan melakukan tolakan.

“Ketika itu seorang lelaki yang mengaku sebagai pengantin terus membaling gelas minuman ke arah pengawai polis sehingga menyebabkan suspek yang mahu ditahan itu mengambil kesempatan melarikan diri melalui pintu belakang hotel,” katanya dalam satu kenyataan.

Rozi berkata akibat dibaling gelas itu, pegawai polis berkenaan mengalami kecederaan di tangan kiri namun keadannya tidak serius.

Beliau berkata bagi mengelak berlaku kekecohan yang lebih besar, pihaknya bagaimanapun tidak menahan pengantin tersebut pada majlis berkenaan, sebaliknya ditahan di rumahnya pagi tadi dan sebelum itu pegawai polis tersebut telah membuat laporan sejurus insiden itu.

“Polis kemudiannya menahan pengantin tersebut di rumahnya di Taman Sri Ampang dan ketika tangkapan hendak dilakukan, berlaku sedikit kekecohan dan polis terpaksa meminta bantuan dari MPV (Unit Kereta Peronda) dan URB (Unit Rondaan Bermotosikal),” katanya.

Menurutnya semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan dan ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melaksanakan tugas.

Rozi berkata polis yang mahu menahan rakan pengantin itu kerana mempunyai beberapa kesalahan lampau antaranya Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Kesekaan, Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan pernah dimasukkan ke Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Simpang Renggam, Johor.

Dr Siti Hasmah turut pulangkan 2 darjah kebesaran Selangor

Amin Iskandar
MENGIKUT jejak langkah suaminya Dr Mahathir Mohamad, Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut memulangkan dua darjah kebesaran dari Istana Selangor, kata jurucakap pejabat bekas perdana menteri itu.

Jurucakap yang tidak mahu dinamakan itu berkata, kedua-dua darjah kebesaran itu dipulangkan Khamis lepas, pada hari sama Dr Mahathir berbuat demikian.

“Dr Siti Hasmah juga memulangkan dua darjah kebesaran itu kepada Istana Selangor,” kata jurucakap itu kepada The Malaysian Insight.

“Darjah kebesaran yang dipulangkan ialah SPMS dan DPMS pada hari sama dengan Dr Mahathir.”

SPMS ialah singkatan kepada Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor yang membawa gelaran Datuk Seri bagi lelaki dan Datin Paduka Seri bagi wanita.

Sementara DPMS pula merujuk kepada Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor yang membawa gelaran Datuk Paduka bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita.

Dr Siti Hasmah menerima darjah kebesaran DPMS daripada Istana Selangor pada 1983 dan SPMS pada tahun 1994.

Pihak Istana Selangor memberitahu The Malaysian Insight, satu kenyataan berhubung perkara ini akan dikeluarkan esok.

Awal hari ini, The Malaysian Insight melaporkan Dr Mahathir memulangkan dua darjah kebesaran tertinggi yang diterima daripada Istana Selangor minggu lepas.

Dr Mahathir menerima SPMS, Darjah Kelas Pertama pada 22 Jun 1978, yang ketika itu membawa gelaran Datuk.

Darjah kebesaran itu dikurniakan hanya kepada dua orang pada satu-satu masa dan kuota maksimum penerimanya ialah 40 orang.

Sejak 1998, darjah kebesaran itu membawa gelaran Datuk Seri.

Kira-kira sebulan sebelum persaraannya pada Oktober 2003, Dr Mahathir dianugerahkan Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) pada majlis Jasamu Dikenang di Istana Alam Shah, Klang.

Ketua Penerangan Bersatu Kamaruddin Mohd Nor mengesahkan kepada The Malaysian Insight Dr Mahathir sudah memulangkan kedua-dua darjah kebesaran itu minggu lepas.

Jeming sedia 'rempuh' Nik Amar di DUN Panchor

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Hazmi Hassan, sedia menyahut cabaran untuk mendepani Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Menurutnya, jika itu arahan dan hasrat kepimpinan parti, dia menerima tanggungjawab tersebut dengan hati terbuka.

"Jika AMANAH Kelantan dan kawasan bersetuju dengan cadangan ini, saya akan menumpukan perhatian di Dewan Undangan Negeri Panchor bagi memenangkan AMANAH Kelantan.

"Saya akan berkerja untuk menang dan saya yakin peluang tetap ada," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Terdahulu, Hazmi atau lebih dikenali sebagai Jeming dicadangkan Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa, sebagai calon di Panchor tersebut.

Sebagai rekod, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan mempertahankan kerusi tersebut sejak 2004.

Pada pilihan raya umum lalu, beliau menewaskan calon BN, Che Rosli Hassan dengan majoriti 5,036.

Panchor terletak di bawah kawasan parlimen Pengkalan Chepa yang memang menjadi kubu kuat PAS.

Husam yang juga pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan berkata, Hazmi mempunyai kekuatan tersendiri dan boleh menggunakan pengaruh ayahnya yang aktif dalam PAS sebelum ini.
"Ayah Jeming ialah bekas setiausaha PAS Pengkalan Chepa, bekas pegawai khas kepada tok guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) cuma beliau belum isytihar masuk AMANAH.

"Tetapi kalau Jeming jadi calon HARAPAN di Panchor, saya yakin ayahnya boleh menggunakan pengaruh beliau di Panchor," katanya.

Sementara itu, Hazmi berkata, dia yakin - seperti Husam - bahawa Mohd Amar boleh dikalahkan dengan kerjasama semua pihak dan dengan izin Allah.

"Cadangan Datuk Husam ini satu penghargaan kepada anak muda, itulah bukti bahawa AMANAH sebuah parti yang meraikan perjuangan orang muda.

"Saya juga menanti respon Mohd Amar, adakah beliau akan meramalkan keputusan PRU14 di Panchor dengan mengatakan saya akan kalah dan hilang deposit seperti pernah diucapnya sebelum ini," jelasnya yang juga bekas aktivis PAS Kelantan.
-malaysiakini