"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Surat terbuka kepada CEO Petronas / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Mohd Badrol

Kepada Tan Sri Mohd Hassan Merican,

Di kesempatan ini ingin saya menarik perhatian Tan Sri kepada tuntutan Kerajaan Kelantan sebanyak 5% dari hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai Kelantan. Tidak perlulah saya mengulas panjang lebar apa yang termaktub didalam perjanjian yang di tandatangani pada 9haribulan Mei 1975 oleh Menteri Besar Kelantan pada masa itu dan bekas Pengerusi Petronas Tengku Razaleigh Hamzah. Sebagai Pengerusi Petronas sekarang, saya rasa Tan Sri sedia maklum apa butiran yang telah di persetujui oleh Petronas dan Kerajaan Kelantan. Saya mengutuskan surat ini kepada Tan Sri kerana Petronas adalah pihak yang terlibat secara langsung dalam perjanjian tersebut, bukannya Kerajaan Persekutuan.

Tan Sri,

Jika Tan Sri terlupa atau buat buat lupa ingin saya memetik sedikit ayat yang terkandung di dalam perjanjian tersebut. Ayatnya berbunyi seperti berikut “ Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan 5% dari nilai pertoliam yang didapati dan diperolehi di Kelantan dan dijual oleh Petronas atau ejen-ejen atau kontrektor-kontrektornya dalam tempoh yang telah diperutukkan dalam fasal 2” Ayat ini secara jelas memperuntukkan Petronas membayar sejumlah wang secara tunai kepada kerajaan negeri tanpa mengira parti mana yang memerintah. Saya menyeru agar Tan Sri memecat Pegawai Undang Undang Petronas sekiranya beliau tidak menerangkan secara jelas apa kandungan surat perjanjian tersebut kerana apa yang beliau lakukan adalah adalah satu kesalahan yang besar kepada Petronas secara khasnya dan kepada rakyat Kelantan secara amnya.

Tan Sri,

Berlegar di fikiran saya apa yang Tan Sri fikirkan tentang negeri Kelantan? Pasti soal kemiskinan rakyat Kelantan yang akan muncul difikiran Tan Sri. Hampir setiap pilihanraya ada pihak akan mengunakan isu kemiskinan rakyat Kelantan sebagai modal murahan tetapi apa yang meraka lakukan untuk membantu rakyat Kelantan? Adakah melambatkan pembayaran geran tahunan dan menafikah hak royalti akan membantu mengurangkan kadar kemiskinan di Kelantan? Namun apa yang amat menghairankan ialah negeri negeri yang bertahun tahun menerima wang royaltinya kadar kemiskinan jauh lebih tinggi dari Kelantan. Kemana wang royalti itu di salurkan?

Tan Sri,

Saya tidak menemui jawapan apa kesalahan rakyat Kelantan kepada Tan Sri sehinggakan Tan Sri sanggup menafikan hak mereka? Di saat Tan Sri menghirup secawan kopi berharga rm9.90 di hotel mewah harus Tan Sri ingat di Kelantan sana masih ada yang berpeluh peluh untuk mencari rm9.90 untuk menampung perbelanjaan harian keluarga. Di saat Tan Sri damai di pejabat berhawa dingin, masih ada yang berpanas dan berhujan di Kelantan sana demi sesuap nasi. Di saat Tan Sri membelek surat khabar di dalam kereta mewah, di Kelantan sana masih ada yang berjalan kaki untuk ke tempat kerja.

Tan Sri,

Saya bukanlah berpengetahuan tinggi dalam agama tetapi apa yang saya tahu melanggar perjanjian adalah sesuatu yang amat di tegah oleh agama islam. Adakah perlu saya menyatakan apakah yang Nabi Muhammad s.a.w gelar kepada golongan ini? Adakah tiada rasa bersalah di hati Tan Sri menafikan hak si miskin? Rakyat Kelantan tidak meminta lebih dari apa yang menjadi hak mereka. Mereka bukan peminta sedekah walaupun kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Apa yang mereka tuntut adalah hak yang telah termaktub dalam perjanjian. Adalah amat malang bagi sebuah organisasi yang begitu gah di seluruh dunia, diketuai oleh seorang melayu yang beragama islam tetapi sanggup menganiaya rakyat sebuah negeri yang miskin.

Tan Sri,

Saya percaya Tan Sri sedia maklum yang rakyat Kelantan adalah segolongan manusia yang amat kuat bersatu sesama anak negeri. Mereka bertebaran di seluruh negara untuk mencari rezeki. Mereka juga mempunyai kuasa jual beli yang amat tinggi. Sudah ada kedengaran ura ura untuk melancarkan kempen “Buy Petronas Last” seperti mana “Buy British Last” yang di lancarkan oleh Kerajaan Malaysia dulu. Malah ada yang mencadangkan agar kempen “Buy Petronas Last” dilancarkan dengan segera sehinggalah rakyat Kelantan mendapat apa yang sepatutnya dapat dari Petronas. Jika kempen ini lancarkan dan dipromosikan secara berterusan dan bersungguh sungguh, saya percaya ianya mampu untuk merencatkan pertumbuhan 9% yang dinikmati oleh Petronas Dagangan Berhad seperti tercatat dalam laporan kewangan berakhir Mac 2009 yang lalu. Jika rakyat Kelantan dan rakyat yang cintakan keadilan dan ketelusan bersatu hati saya juga percaya kempen ini dapat mengurangkan pandapatan PDB sebanyak 10% atau rm2.4 billion dari rm24 billion perolehan PDB berakhir Mac 2009. Rm2.4 billion adalah jumlah yang jauh lebih tinggi dari apa yang di tuntut oleh Kerajaan Kelantan sebagai pihak yang bertanggung jawab ke atas rakyat Kelantan.

Tan Sri,

Sebagai pengakhir kata saya memohon agar Tan Sri dapat membuat pembayaran kepada Kerajaan Negeri Kelantan seperti apa yang sepatutnya. Adalah malang jika Tan Sri tunduk kepada tekanan dari pihak yang langsung tiada kena mengena dalam perjanjian tersebut. Janji Allah swt kepada umatnya bahawa pemimpin yang zalim akan diganti dengan pemimpin yang adil bukan lah satu omongan kosong. Akan tiba suatu hari nanti Tan Sri akan di gantikan oleh orang lain tetapi harus Tan Sri ingat yang Tan Sri akan di pertanggungjawabkan di atas apa yang Tan Sri lakukan. Akan tiba masanya kesalahan sebesar zarah pun akan diadili oleh Allah swt. Apa yang pasti doa mereka yang dizalimi pasti akan diterima oleh Allah swt. Tan Sri telah diberi peluang oleh Allah swt untuk menjadi wira di mata si miskin, maka tiada alasan untuk Tan Sri memilih untuk menjadi si bacul.

Tiada ulasan: