"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akta Halal: kerajaan jangan janji kosong / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 9 Nov:
Ahli Parlimen Baling, Taib Aizamuddin berharap janji kerajaan untuk menguatkuasakan akta halal menjelang tahun depan bukan sekadar janji kosong.

"Saya harap jaminan kerajaan kali ini bukan janji kosong sebab dah banyak kali kerajaan janji nak bentang rang undang-undang sebelum laksana Akta Halal ini," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Beliau yang juga bekas Imam Masjid Negara berharap penguatkuasaan tersebut mesti dilakukan secara professional meliputi semua lapangan termasuk industri makanan,ubatan serta barang-barang keperluan umat Islam.

"Kalaulah kerajaan boleh keluarkan lesen berniaga dan sebagainya, sijil halal untuk semua industri yang libatkan barang keperluan orang Islam mesti dikeluarkan sijil halal yang ada nilai, ada integriti (dan) ada professional," ujarnya.

Jelasnya lagi, kerajaan juga perlu menubuhkan suatu badan penguatkuasa berseragam untuk memantau kilang-kilang makanan dan hotel-hotel restoran yang menyediakan makanan untuk pengguna Islam.

"Kita tak boleh tunggu lagi pihak kilang atau hotel panggil, baru kita pergi pantau di tempat mereka."

"Kalau boleh, ditempatkan pegawai (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia),JAKIM dengan pihak kilang atau hotel sendiri beri elaun untuk pastikan kualiti (bahan makanan dan barangan) terjamin halal."

Beliau juga mencadangkan badan penguatkuasa tersebut bekerjasama dengan para pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom berjanji untuk memastikan semua makanan dan proses penyeliaan halal mengikut syariat Islam akan dikuatkuasakan menjelang tahun depan.

Menurut Jamil, JAKIM bersama-sama Jabatan Agama Islam negeri-negeri serta Jabatan Peguam Negara sedang menyiapkan draf undang-undang akta tersebut, sebelum dibawa ke Parlimen.

Rabu lepas, Taib mendesak kerajaan prihatin dengan industri pemakanan halal yang melibatkan majoriti rakyat Malaysia ketika menyertai sesi perbahasan Bajet 2010 di Parlimen.

Sekiranya Akta Halal berjaya dikuatkuasakan seperti yang dijanjikan, sekali gus menggalakkan lagi minat pelabur dalam dan luar melabur dalam industri hab halal negara.

Tiada ulasan: