"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hasan Ali Berhadapan Tindakan Disiplin Parti / Nizar / PKFZ / Altantuya

admin_ann
Shah Alam, 11 Nov: Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, YB Dato’ Dr. Hasan Mohamed Ali hari ini mengesahkan bahawa beliau adalah salah seorang daripada anggota PAS Selangor yang telah menerima surat tunjuk sebab daripada Jawatankuasa Disiplin Parti yang dipengerusikan oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS.
Di dalam Mesyuarat Khas AJK PAS Pusat yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang mengesahkan bahawa PAS Selangor akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin Parti disebabkan pergolakan dalaman dan beberapa isu kontroversi yang melibatkan beberapa orang tokoh pemimpin PAS di negeri itu. Difahamkan Hasan Ali merupakan salah seorang daripada pemimpin yang terlibat.

Hasan enggan mengulas apabila ditanya siapakah lagi dikalangan anggota PAS Selangor yang turut menerima surat tunjuk sebab daripada Jawatankuasa Disiplin parti. “saya tidak tahu, itu kena tanya Dato’ Tuan Ibrahim”, ujar beliau.

Beliau bagaimanapun tidak gusar dengan penerimaan surat tunjuk sebab tersebut. Malah beliau menerimanya dengan hati yang terbuka. “saya telah membaca dan memahaminya. Saya akan menjawab dengan segera kesemua dakwaan yang dikenakan ke atas saya secara bertulis supaya Jawatankuasa Disiplin dapat menjalankan siasatan dengan lancar dan memahami permasalahan yang sebenarnya”.

Beliau yang ditemui di Dewan Undangan Negeri Selangor selepas sesi pembentangan bajet oleh Menteri Besar menjelaskan bahawa beliau akan memberi kerjasama sebaik mungkin kepada Jawatankuasa Disiplin parti supaya mereka dapat melakukan siasatan dan membuat keputusan dengan seadil-adilnya.

Ketika ditanya apakah beliau bersedia menerima sebarang bentuk hukuman termasuk dipecat daripada jawatan Pesuruhjaya PAS Selangor oleh Jawatankuasa Disiplin parti, beliau menjawab dengan tenang dan redha menerimanya. Kata beliau, “ Saya sanggup dan bersedia untuk menerima apa juga bentuk hukuman daripada Jawatankuasa Disiplin Parti sekiranya mereka mendapati perbuatan saya menyalahi perlembagaan parti dan menjejaskan tujuan serta dasar PAS untuk melaksanakan Islam khasnya di negeri Selangor”. – ANN

www.ann.com.my

Tiada ulasan: